Walaupun risau, petani Thai sambut baik dasar baharu ganja


Langkah kerajaan Thailand membenarkan penggunaan ganja ini adalah penting bagi rantau yang dikenali cenderung menjatuhkan  hukuman keras berhubung kesalahan dadah.– Gambar AFP, 26 Disember, 2018.

PETANI Thailand menyambut baik undang-undang baharu yang membolehkan penanaman dan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan yang diumumkan semalam.

Thailand merupakan negara Asia pertama yang membenarkan penggunaan ganja yang dilihat akan meningkatkan ekonomi negara itu.

Bagaimanapun, kerisauan tetap dirasakan golongan petani kerana mereka menjangka wujud syarikat asing mengaut keuntungan ekoran dasar baharu negara itu.

Persidangan Kebangsaan Thailand meluluskan rang undang-undang yang membenarkan penggunaan ganja dan ketum - herba tradisional - untuk kegunaan penyelidikan dan perubatan.

Langkah ini adalah penting bagi rantau yang dikenali cenderung menjatuhkan  hukuman keras berhubung kesalahan dadah. Negara itu juga turut membenarkan pengeluaran, import dan eksport herba tradisional itu.

Rang undang-undang itu, yang masih melarang penggunaan rekreasi dan mempunyai had ketat berhubung amaun yang boleh dibawa oleh seorang individu, memerlukan persetujuan diraja untuk menjadi dasar negara, kata Ahli Dewan Negara Thailand Jet Sirathronont.

Majlis Petani Negara Thailand memuji undang-undang tersebut kerana menyediakan “ekonomi pertanian baru” untuk membantu peladang mempelbagaikan pengeluaran mereka.

“Saya menjangka Thailand boleh menghasilkan 100 bilion baht setahun (ASD3.07 bilion) daripada penanaman ganja di samping jualan bahan mentahnya dan minyak pati ganja,” kata ketuanya, Prapat Panyachartrak kepada AFP.

Bagaimanapun, wujud kerisauan di kalangan pengusaha ladang sekiranya syarikat-syarikat asing dan perusahaan farmaseutikel gergasi akan memonopoli perusahaan baharu itu dengan memfailkan milikan paten untuk menghasilkan ganja perubatan dan ekstrak ganja.

Mereka yang memegang paten boleh menyebabkan universiti Thailand dan agensi kerajaan berhenti dari menjalankan penyelidikan, kata pengarah BioThai, Witoon Liamchamroon, sebuah rangkaian aktivis pertanian, petani dan akademik. – AFP, 26 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen