USAHA pencarian sedang dijalankan bagi mengesan 152 orang pelancong Vietnam yang tiba di Taiwan menggunakan visa pelancong, kata pihak berkuasa negara itu hari ini, ketika media tempatan melaporkan mereka mungkin datang ke pulau itu untuk bekerja secara haram.
Para pelancong dikatakan telah diberi visa di bawah satu inisiatif yang dilancarkan tiga tahun lalu bagi menarik lebih banyak pelancong ke Taiwan dari bahagian selatan dan tenggara Asia.
Sejumlah 153 warga Vietnam tiba di bandar Kaohsiung selatan pada hujung minggu - dan hanya seorang sahaja yang dapat dikesan, lapor Agensi Imigresen Taiwan.
“Agensi itu telah menubuhkan pasukan petugas dan bekerjasama dengan pihak polis bagi menyiasat para pelancong yang tidak dapat dikenal pasti dan kumpulan yang mendukung mereka,” katanya dalam satu kenyataan, tanpa memberikan ulasan lanjut.
Media tempatan berspekulasi bahawa warga Vietnam itu mungkin datang ke Taiwan untuk bekerja secara haram.
Mereka yang ditahan akan dihantar pulang selain dilarang masuk ke negara itu bagi tempoh tiga hingga lima tahun, kata agensi imigresen itu.
Kira-kira 150 pelancong yang menyertai program itu sebelum ini tidak dapat dikesan, menurut Biro Pelancongan, walaupun tidak jelas berapa orang daripada mereka yang berjaya ditemui.
Sementara itu, Kementerian Luar Negara Vietnam memberitahu AFP, pihaknya telah meminta pihak berkuasa Taiwan memberi penjelasan berhubung kes itu sekaligus bersama menyelesaikannya agar program pelancongan dan pertukaran dua hala yang dimeterai sebelum ini tidak terjejas. – AFP, 26 Disember, 2018.
Komen