Iran, Taliban mulakan rundingan


Iran mahu membantu selesaikan isu keselamatan di rantau itu, dan sedia bekerjasama dengan kerajaan Afghanistan berhubung Taliban. – Gambar EPA, 26 Disember, 2018.

IRAN mengadakan perbincangan dengan Taliban Afghanistan, kata pegawai keselamatan tertinggi negara itu.

Perbincangan itu dilaporkan agensi berita Tasnim pada hari Rabu.

“Kerajaan Afghanistan telah dimaklumkan tentang komunikasi dan perbincangan yang dijalankan dengan Taliban, dan proses ini akan diteruskan,” kata Ali Shamkhani, setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, menurut Tasnim.

Tidak ada butiran mengenai tempat rundingan itu diadakan oleh agensi berita tersebut yang dilihat akrab dengan organisasi Pengawal Revolusi Iran.

Shamkhani memberitahu pihak berkuasa Afghanistan tentang perbincangan tersebut semasa lawatan pihaknya ke Kabul hari ini, lapor Tasnim dan agensi lain.

“Republik Islam Iran sentiasa menjadi salah satu tiang utama kestabilan di rantau ini dan kerjasama antara kedua negara ini pasti akan membantu berhubung isu keselamatan Afghanistan hari ini,” katanya. – AFP, 26 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen