LIGA Arab (AL) pada Selasa telah mengutuk serangan pengganas ke atas Kementerian Luar Libya di Tripoli yang meragut tiga nyawa dan mencederakan beberapa yang lain, lapor agensi berita China Xinhua.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agungnya Ahmed Aboul-Gheit berkata “jenayah keji” ini membuktikan bahawa keganasan tidak mempunyai had kerana ia meragut nyawa orang awam yang tidak bersalah.
“Pengganas berusaha menggugat segala usaha yang dilakukan untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di Libya, serta memanjangkan krisis Libya bagi tempoh masa yang tidak pasti,” katanya.
Pemimpin AL itu berkata situasi semasa memerlukan lebih banyak usaha bagi membantu rakyat Libya mengatasi krisisi itu dengan cara yang menjamin kestabilan dan keselamatan di seluruh negara, melindungi integriti wilayah negara tersebut dan menyelesaikan penubuhan institusi-institusi negara.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah AL kepada kerajaan dan rakyat Libya serta berharap mereka yang segera cepat sembuh.
Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala 10 lagi, termasuk seorang anggota paramedik, cedera dalam serangan pengganas pada Selasa ke atas ibu pejabat Kementerian Luar Libya di ibu kota Tripoli.
Serangan itu berlaku pada pukul 9 pagi waktu tempatan (0700 GMT) apabila sebuah bom kereta meletup betul-betul di belakang bangunan kementerian tersebut, kata seorang pegawai Kementerian Luar, yang enggan namanya didedahkan, kepada Xinhua.
Beliau berkata selepas itu, sekumpulan lelaki bersenjata telah memasuki bangunan tersebut dari pintu masuk depan dan belakang serta berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan.
Pada September, kumpulan militan Daesh telah menyerang ibu pejabat Perbadanan Minyak Kebangsaan di pusat bandar Tripoli, menyebabkan dua orang terbunuh dan mencederakan beberapa yang lain. – Bernama, 26 Disember, 2018.
Komen