PASUKAN mencari dan menyelamat Indonesia hari ini cuba mendapatkan penduduk yang terperangkap di pulau-pulau kecil yang dilanda tsunami akibat letusan gunung berapi “Anak Krakatau” yang meragut lebih 400 nyawa.
Pekerja-pekerja perubatan memberi amaran bekalan air bersih dan ubatan semakin berkurang - bimbang akan menyebabkan krisis kesihatan - manakala hospital dan khemah perlindungan dipenuhi penduduk yang terselamat.
Agensi bencana Indonesia berkata helikopter telah digegaskan untuk menghantar bantuan ke beberapa kawasan terpencil di sepanjang pantai barat Jawa dan Sumatera selatan yang terjejas.
Beratus-ratus penduduk masih terkandas di pulau-pulau kecil di Selat Sunda yang memisahkan Jawa dan Sumatera akan dibawa ke kawasan perlindungan menggunkan helikopter atau bot, kata agensi itu.
Anjing pengesan pula digunakan untuk mencari mangsa yang masih hilang, namun harapan untuk mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan kian tipis.
“Kami sudah bergerak ke kawasan terpencil yang dilanda tsunami,” kata pegawai kanan agensi bencana, Dody Ruswandi.
“Kemusnahan di sana teruk juga, tetapi kami tidak dapat masuk ke sana pada hari pertama.”
Beberapa batang jalan dan jambatan dekat kawasan terpencil rosak teruk, menyukarkan pasukan bantuan ke sana, katanya.
Tsunami yang tercetus akibat letusan gunung berapi “Anak Krakatau” pada Sabtu itu menyebabkan 429 maut, 1,458 cedera manakala 154 lagi hilang. – AFP, 26 Disember, 2018.
Komen