KEMENTERIAN Luar Libya di Tripoli semalam diserang pengebom bunuh diri yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Islamic State (IS) hingga menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut, termasuk seorang pegawai kanan kerajaan.
Seramai 21 orang cedera dalam serangan itu, kata pihak berkuasa.
Jurucakap pasukan khas, Tarak al-Dawass berkata sebuah kereta dibom dekat kementerian, menyebabkan pasukan keselamatan bergegas ke tempat kejadian.
Seorang pengebom bunuh diri kemudian meletupkan diri di tingkat dua bangunan kementerian itu manakala seorang lagi mati apabila beg berisi bom yang sedang dibawanya meletup, kata Dawass.
Dia juga berkata penyerang ketiga, yang tidak bersenjata dan memakai jaket kalis peluru dibunuh oleh pasukan tentera yang berada di luar bangunan kementerian.
Sekurang-kurangnya tiga maut dan 21 cedera, menurut Kementerian Kesihatan
Menteri Luar Tahar Siala berkata salah seorang mangsa yang terbunuh adalah diplomat kanan, Ibrahim al-Shaibi yang mengetuai sebuah jabatan di kementeriannya.
Dalam satu kenyataan yang diedarkan di media sosial, IS mendakwa ia melakukan serangan tersebut. – AFP, 26 Disember, 2018.
Komen