JEPUN menarik diri dari Suruhanjaya Ikan Paus Antarabangsa (IWC) dan akan meneruskan aktiviti memburu mamalia itu tahun depan, kata jurucakap kerajaan hari ini, yang disifatkan akan mencetus kritikan antarabangsa.
“Kami membuat keputusan untuk mearik diri dari IWC supaya dapat terus memburu ikan paus secara komersial pada Julai tahun depan,” Yoshihide Suga memberitahu pemberita.
“Perburuan ikan paus akan disambung semula pada Julai dan terhad di perairan wilayah Jepun dan zon ekonomi ekslusif. Kami tidak akan memburu di perairan Antartika atau di hemisfera selatan.”
Pengumuman yang memang sudah dijangka itu dilakukan selepas Jepun pada awal tahun ini gagal meyakinkan IWC untuk membenarkannya meneruskan aktiviti memburu ikan paus.
Tokyo telah berulang kali mengancam akan menarik diri dari badan itu, dan sering dikritik kerana memburu beratus-ratus ikan paus dalam setahun bagi tujuan “penyelidikan saintifik” meskipun menadatangangi moratorium ke atas perburuan ikan paus.
Suga berkata Jepun secara rasmi akan memaklumkan kepada IWC mengenai keputusan negara itu menjelang akhir tahun ini. Ini bermakna berkuatkuasa pada 30 Jun.
Penarikan diri itu juga bermakna Jepun menyertai Iceland dan Norway yang secara terbuka menentang larangan IWC. – AFP, 26 Disember, 2018.
Komen