Selagi tembok sempadan tak dapat dana, Trump tak akan buka kerajaan


Donald Trump mahukan AS$5 bilion untuk membina tembok sempadan di Texas, permintaan yang ditolak Kongres sehingga memaksa kerajaan AS ditutup. – Gambar EPA, 26 Disember, 2018.

PRESIDEN AS Donald Trump semalam berjanji tidak akan membuka kembali kerajaan sehinggalah beliau mendapat pembiayataan tembok sempadan berjumlah AS$5 bilion, ketika penutupan sebahagian kerajaan memasuki hari keempat.

Tuntutan Trump untuk pembinaan tembok di sempadan AS-Mexico- salah satu janji pilihan rayanya- ditolak oleh wakil Demokrat dan beberapa wakil Republikan. Balasannya, Trump enggan menandatangani usul perbelanjaan lanjutan seterusnya memaksa sebahagian operasi kerajaan ditutup sementara.

“Saya tak boleh beritahu anda bila kerajaan akan dibuka semula,” kata presiden daripada Republikan itu kepada wartawan di White House selepas sidang video tahunan sempena Krismas dengan tentera AS.

Trump mengesahkan dakwaan dibuatnya menerusi Twitter Isnin lalu yang beliau sudah meluluskan kontrak pembinaan tembok sepanjang 185 kilometer di Texas.

White House bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang maklumat lanjut mengenai projek itu.

Tambahnya, beliau akan melawat kawasan sempadan itu “pada hujung Januari untuk memulakan pembinaan.”

“Ia akan dibina, harapnya sepantas mungkin,” katanya.

Presiden berkata beliau meletakkan sasaran tembok dibina sepanjang 500 hingga 550 batu daripada sempadan sejauh 2,000 batu itu, dan “akan membaik pulih atau membinanya semula menjelang pilihan raya (akan datang).”

Beliau menambah yang sebilangan pekerja agensi persekutuan juga menyokong pembinaan tembok tersebut yang menurutnya akan menghalang kemasukan pendatang haram.

Pada hujung minggu lepas, politikus kanan Demokrat chuck Schumer berkata presiden “perlu membatalkan (projek) tembok tersebut, semudah itu sahaja” untuk membuka semula kerajaan.

Trump menamatkan sidang media dengan wartawan dengan mengecam Demokrat dan bekas pengarah FBI James Comey yang dipecatnya pada Mei 2017.

Comey dipecat kerana pentadbiran Trump kecewa siasatan persekutuan dilakukan ke atas kemungkinan wujudnya kaitan antara kempen Trump dan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden 2016.

“Memalukan apa yang berlaku di negara kita,” kata Trump.

“Tetapi selain itu, saya ucapkan kepada semua Selamat Hari Krismas.” – AFP, 26 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen