Hentikan politiking, ini masa Pakatan bekerja!


Zainal Rashid Ahmad

ADA tiga perkara yang rakyat harapkan setelah melalui kejenuhan hidup dan perjuangan politik demi mengubah kerajaan pada 9 Mei lalu. Bagi rakyat yang berjuang secara aktif untuk memastikan kerajaan ditukar, kemenangan Pakatan Harapan (PH) bererti harapan Malaysia Baharu akan terlaksana.

Apa harapan rakyat?

Pertama: Tangani kos sara hidup.

Kedua: Cergaskan sektor ekonomi.

Ketiga: Hentikan politiking melampau.

Harapan pertama dan kedua tidak akan kesampaian kalau selepas 9 Mei, suasana politik negara kekal tidak stabil akibat politiking melampau.

PH ialah kerajaan kombinasi pelbagai parti. Tiap parti termasuk yang setahun jagung usianya, dipimpin tokoh-tokoh hebat yang berpengalaman.

Secara logik, ia patut lebih energetik berbanding tradisi politik lapuk perkongsian kuasa cara Barisan Nasional (BN).

Namun, sudah semacam bencana pula jadinya sekarang. Ahli politik dalam fraksi PH kelihatan lebih sibuk berpolitik dan bercakaran sesama sendiri. Malah, fiilnya sampai ke tahap lebih mencelarukan berbanding enam dekad era BN.

Kepada menteri kabinet, dan kerajaan negeri, eloklah kekal fokus bekerja kuat. Anda semua mengambil alih negara ketika keadaan politik, suasana ekonomi dan sistem sosialnya sedang tenat. Maka, tumpukan pada usaha pemulihan segera.

Kumpulan doktor yang hebat tidak bertekak di bilik bedah ketika merawat pesakit yang tenat. Bertekak dan bertengkar hanya akan menghantar rakyat ke pintu maut pada kadar lebih cepat berbanding era BN.

Anda semua memang tidak berpengalaman sebagai kerajaan. Itu difahami. Namun, jangan sampai rakyat melihat PH sebagai tidak cerdik!

Apabila pakar strategi DAP Liew Chin Tong yang juga timbalan menteri pertahanan, mendedahkan wujud konspirasi merebut ahli Parlimen Umno oleh kem-kem dalam PH, ia mematahkan hati rakyat.

Enam bulan selepas PRU 14, masih tidak cukupkah kuasa yang ada?

Serangan Ahli Parlimen PKR Sungai Petani Johari Abdul kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menampakkan kem Presiden PKR Anwar Ibrahim masih bermasalah dengan Dr Mahathir.

Serangan balas, Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti PH Khairuddin Abu Hassan, tambah menyakitkan hati rakyat. Orang kuat Bersatu itu menuduh wujudnya usaha jatuhkan PM. Secara lateral, usaha menyingkirkan Dr Mahathir satu konspirasi dalaman PH sendiri.

Percakaran ini mudah difahami. Rakyat melihat Bersatu dan PKR sedang bercakaran merebut kuasa.

Kenapa bidak terus bercakar, kalau Dr Mahathir dan Anwar sudah sepakat. Bukankah soal penyerahan kuasa akan berjalan dalam tempoh dua tahun seperti dipersetujui sesama PH sebelum PRU14?

Perselisihan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga menteri belia dan sukan dengan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang Prof Dr P Ramasamy mengenai status memecat Menteri Perpaduan P Waytha Moorthy, pun antara isu yang makin menyerabutkan keadaan.

Ahli politik PH berperangai seperti ketua pengawas sekolah yang dipilih jadi menteri dan kepimpinan kanan negeri. Nampak hebat tetapi tidak matang.

Jangan sesekali berfikir, rakyat akan kenyang dengan dihidangkan menu sentimen politik?

Jangan ingat, rakyat sedang kebuluran dan laparkan politik perkauman sebagai makanan?

Sudah dan sudahlah. Ayuhlah bekerja memenuhi tiga perkara di atas. Bekerja dengan baik seperti yang dijanjikan semasa berkempen. Pastikan kos sara hidup menurun dan akses rakyat pada sumber keperluan asas terjaga.

Pastikan rakyat tidak ketakutan memikirkan apa yang akan dimasak dan dimakan dalam pinggan.

Hampir 11% anak muda masih menganggur. Data peluang pekerjaan tidak meningkat sejak Mei lalu. Pada September lalu, kadar pengangguran masih ditahap 3.4%. Angka yang tinggi berdasarkan amalan sihat dibawah 3%.

25 ribu kehilangan pekerjaan tahun ini. Itu angka yang besar. Malah, suku pertama 2019 akan dipenuhi lagi dengan kes-kes pembuangan pekerja, sekiranya struktur ekonomi tidak dipulihkan segera.

Malaysia terus berdepan cabaran pengangguran belia yang tinggi berikutan faktor ketidakseimbangan kemahiran serta jurang struktur asas antara sistem pendidikan dan industri, kata penganalisis.

Itu fakta kajian Ketua Ekonomi AmBank Research Dr Anthony Dass. Kadar pengangguran anak muda Malaysia kekal lebih tinggi berbanding Singapura (4.6%), Thailand (5.9%), Vietnam (7.9%) dan India (10.5%).

Walaupun lebih rendah berbanding Indonesia 15.6%. Namun, bagi angka domestik, 10.8% adalah sangat tinggi.

Indeks harga barangan kekal tinggi dan mahal. Tidak perlulah simulasi angka-angka yang kompleks hingga sukar difahami. Ambil benda realistik sahaja. Apabila janji hapuskan tol dan turunkan harga minyak tidak dapat ditunaikan, rakyat mengharapkan harga barangan asas terkawal dan wujud penurunan harga.

Ini masa bekerja. Kalau nak berkelahi pun, pastikan nasib rakyat terbela. Jangan jadikan istilah Malaysia Baru ditertawakan. Jangan sampai disiniskan sama seperti kempen 1Malaysia.

Minggu lalu, terkejut dengan pendedahan Chin Tong mengenai wujudnya krisis Dr Mahathir dan Anwar dalam merebut ahli Parlimen Umno, serta pertikaman lidah Johari dan Khairudin – rasa menyampah menyebabkan tekak rakyat mulai loya dan hampir termuntah.

Apa lagi yang tidak kena? Apa lagi dimahukan setelah rakyat bertungkus-lumus memberikan PH kuasa?

Minggu depan politik Malaysia dijangka akan terus dicemari sengketa perebutan kuasa menjadi PM. Tuduhan Johari, PM suka berjalan ke luar negara, dan tindak balas Khairudin supaya jangan kurang ajar, tanda peperangan politik antara kem Dr Mahathir dan Anwar akan masuk pusingan kedua.

Cukup-cukuplah tiga bulan pertama PH berkuasa, krisis Dr Mahathir dan Anwar mengusutkan politik negara. Apabila dua de facto bergaduh; impaknya besar pada ekonomi kita.

Soal Waytha Moorthy dan kuil Mariamman tidak perlulah dipanjangkan. Soal kebebasan bersuara elok digunakan untuk melestarikan negara.

Kalau menteri banyak bercakap pun, ia bukan tanda demokrasi sedang mekar. Sebaliknya, ia bawa petanda – menteri suka meraikan demokrasi kebebasan bersuara dengan menghabiskan masa berkelahi dan bukan bekerja. – 26 Disember, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen