WALAU salah seorang daripada kami terbunuh, kami gagahkan juga hati selamatkan nyawa orang pada keesokan harinya.
Itulah jawapan dari Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Jalan Hang Tuah, Mohd Eirwan Hussin, apabila ditanya mengenai semangat anggota-anggota bomba lain selepas rakan mereka, Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia selepas cedera parah dalam rusuhan di kuil di Subang Jaya pada 27 November lalu.
Adib adalah anggota kelapan yang meninggal dunia dalam tahun yang tragis bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba). Dua bulan sebelum kematian anak muda itu, enam anggota bomba lemas dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja di sebuah lombong di Puchong. Pada Mac pula, seorang anggota bomba maut selepas dipatuk ular di Bentong, Pahang.
Kata-kata dan perasaan Eirwan itu sama sahaja dilontarkan oleh anggota Bomba lain di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang ditemui The Malaysian Insight (TMI). Namun, mereka mengakui kesedihan atas kehilangan seorang demi seorang rakan setugas tidak dapat dielakkan.
Kehilangan “ahli keluarga” ini bukan bukan hanya meruntun semangat mereka. Menurut beberapa kakitangan jabatan Bomba yang ditemui TMI, salah faham orang ramai selepas kejadian-kejadian tragis itu juga amat mengecewakan.
Komen-komen di media sosial seperti “jabatan bomba tidak mematuhi SOP” dalam kejadian lemas di Puchong dan “anggota bomba rileks saja sepanjang hari tunggu rumah terbakar” - itu yang menambahkan lagi luka di hati mereka.
“Kematian Adib sukar untuk kami terima tetapi kejadian lemas di Puchong itu lebih lagi. Semuanya kerana apa yang orang ramai cakap tentang kami,” kata seorang pegawai di Kuala Lumpur yang enggan dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.
Bagi pegawai itu, reaksi orang ramai terhadap Jabatan Bomba dan Penyelamat itu mencerminkan jurang pandangan mengenai jabatan itu melihat peranannya dalam masyarakat, dan bagaimana anggota mereka dilatih untuk berkhidmat.
Dan jurang ini sangat membingungkan, kata seorang pegawai di Selangor. Kerana hingga ke saat ini masih ada rakyat Malaysia yang tidak faham tentang peranan Bomba walaupun ia adalah institusi yang sudah lama wujud sejak sekian lama.

Lega dan tenang
Abu Zarin Hussin adalah anggota bomba pertama yang meninggal dunia tahun ini, selepas dipatuk ular ketika bertugas. Kematian beliau adalah mengejutkan kerana anggota bomba itu terkenal di seluruh negara sebagai pakar ular.
“Beliau pakar ular malah pernah dipatuk sekali dulu, tetapi selamat,” kata pegawai bomba di Kuala Lumpur. Ketika musim panas antara April hingga September, Bomba sering dipanggil untuk menangkap ular berbisa di rumah-rumah di kawasan kampung.
Lima bulan selepas itu, enam anggota bomba berpengalaman lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana Puchong dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong.
Jabatan itu menerima kritikan dari pakar-pakar selam apabila video rakaman operasi itu tersebar di media sosial. Pakar ini mendakwa anggota bomba berkenaan tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana kesemua mereka diikat pada satu tali.
“Bukan hanya orang luar yang persoalkan kaedah kami, malah ada juga antara kami rasakan begitu,” kata pegawai Bomba di Kuala Lumpur itu. Ini melunturkan lagi semangat mereka, katanya.
Ini menyebabkan Ketua Pengarah Bomba Mohammad Hamdan Wahid segera mengambil tindakan, kata pegawai itu. Hamdan membawa semua pegawai dan pemimpin pasukan di seluruh negara ke permukiman khas di Hulu Selangor.

Di sebuah kawasan di sungai Selangor yang terkenal arus deras dan pusaran air, Bomba mengadakan simulasi keadaan yang berlaku di Puchong. Setiap ketua pasukan diberi peluang menjalankan operasi sama dan menguji sama ada operasi menyelamat pada 3 Oktober lepas mengikut SOP yang betul.
“Selepas semua ujian dalam simulasi itu, kami dapati memang kesemua anggota dalam kejadian di Puchong mengikut SOP yang betul,” katanya.
“Semasa anggota pertama tergelincir dalam pusaran air, anggota kedua terjun masuk untuk selamatkannya. Anggota ketiga pula selamatkan anggota pertama pertama dan kedua tadi. Yang lain-lain juga cuba selamatkan rakan dalam pasukan. Mereka cuba menyelamatkan rakan ketika mereka sendiri ditarik oleh pusaran air.
“Kalau kami sudah dilatih untuk mempertaruhkan nyawa ketika menyelamatkan nyawa orang kami tidak kenali, apatah lagi ketika menyelamatkan rakan setugas sendiri.”
Jabatan itu masih belum mendedahkan keputusan simulasi itu kepada awam. Hamdan berkata laporan lengkap mengenai kejadian di Puchong itu akan siap pada hujung tahun ini.
Bagi kakitangan Bomba, simulasi berkenaan akan menajwab segala keraguan mengenai kejadian tersebut.
“Pengarah Hamdan benar-benar membantu kami dapatkan semula semangat yang hilang. Orang ramai mungkin masih lagi salah anggap terhadap kami, tetapi sekurang-kurangnya bagi kami, kami rasa lega dan tenang,” kata pegawai di Kuala Lumpur itu. – 26 Disember, 2018.
Komen