POLIS Baltimore mengutip hampir 2,000 senjata api termasuk pelancar roket dalam program membeli kembali senjata bermatlamat mengurangkan keganasan di bandar timur AS itu.
Operasi tiga hari minggu lepas yang diumumkan untuk menghapuskan senjata haram di jalanan di bandar yang kes bunuh melepasi 300 kes selama empat tahun berturut-turut.
Anggota polis mengutip 1,860 senjata api, kata jurucakap polis kepada AFP. Datuk bandar juga menerusi Twitternya berkata antara yang dikutip adalah pelancar roket.
Pihak berkuasa menawarkan AS$25 untuk senapang besar, AS$100 untuk senapang patah dan pistol, AS$200 untuk senapang separa automatik dan AS$500 untuk senapang automatik, serta menjanjikan identiti mereka yang terlibat dalam program tersebut dirahsiakan.
Bandar yang mempunyai 600,000 penduduk itu memperuntukkan AS$250,000 untuk operasi itu, yang menurut majlis perbandaran seperti dilaporkan akhbar tempatan Sun adalah “pembaziran masa, wang dan sumber.”
Akhbar harian itu berkata program seumpama itu tidak banyak memberi kesan kepada kejadian tembakan atau mendapatkan senjata api daripada penjenayah yang berhasrat membalas dendam, mempertahankan jajahan dadah mereka atau melindungi diri mereka daripada musuh dan membalas tembakan.
Tetapi Ketua Polis Gary Guttle memberitahu akhbar tersebut yang jika senjata api tidak wujud, ia tak wujud di rumah, ia tidak boleh digunakan, ia tidak boleh dicuri.
“Ia tak akan menyumbang kepada keganasan,” katanya.
Hak memiliki senjata api dijamin oleh Pindaan Kedua Perlembagaan AS, dan satu daripada tiga isi rumah AS memiliki senjata api.
Menurut pihak berkuasa, hampir 40,000 maut kerana senjata api pada 2017 di AS, jumlah itu termasuk kejadian bunuh diri. – AFP, 26 Disember, 2018.
Komen