Budak kedua mati dalam tahanan imigresen AS


Kematian budak lelaki lapan tahun itu adalah yang kedua selepas seorang budak perempuan meninggal dalam tahanan pihak berkuasa AS, mencetuskan kemarahan banyak pihak. – Gambar EPA, 26 Disember, 2018.

SEORANG budak lapan tahun dari Guatemala mati dalam tahanan kerajaan semalam, kata Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP), kes kedua berlaku bulan ini.

Budak lelaki yang ditahan bersama ayahnya, dipindahkan ke pusat kesihatan New Mexico menunjukkan tanda sakit pada Isnin, kata agensi itu.

Kakitangan perubatan mendiagnos keadaanya sebagai selesema tetapi mendapati beliau demam. Beliau kemudiannya dibenarkan keluar pada tengahari dengan bekalan ubat ibuprofen dan antibiotik.

Budak itu kemudiannya dipindahkan semula ke hospital selepas pening dan muntah-muntah, tetapi meninggal dunia pada tengah malam.

CBP berkata mereka masih belum mengesahkan punca kematian tetapi “akan memastikan siasatan bebas dan mendalam” dilakukan.

Berita itu mencetuskan kecaman ramai di media sosial, beberapa hari selepas seorang lagi budak perempuan dari Guatemala yang meninggal dihantar pulang.

Kematiannya mencetuskan semula perdebatan di AS mengenai dasar imigrasi dan layan terhadap pendatang.

Presiden Donald Trump mengambil pendirian keras dalam dasar imigrasi untuk kempennya, menarik kecaman pengkritik yang menuduhnya menggunakan dasar tersebut untuk kepentingan politik.

Beliau kini berdepan tentangan Kongres untuk pembiayaan tembok sempadan yang dirancangnya, yang dakwanya boleh menghalang kebanjiran pendatang dari negara Amerika Latin yang terjejas kerana keganasan kumpulan dan kemiskinan. – AFP, 26 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen