Pihak berkuasa didakwa bunuh pelajar, Bosnia tegang


David Dragicevic ditemui mati Mac lalu, mencetuskan protes besar-besaran di beberapa bandar Bosnia termasuk di Banja Luka dan Sarajevo. – Gambar EPA, 26 Disember, 2018.

PERBALAHAN antara polis Bosnia dan penunjuk perasaan memuncak semalam selepas penahanan seorang ketua tunjuk perasaan berkaitan kematian anak lelakinya yang tidak mendapat pembelaan di Banja Luka.

Ratusan penunjuk perasaan berkumpul membantah penahanan ketua mereka, Davor Dragicevic, melawan arahan polis yang dikerahkan berkumpul di pusat bandar Banja Luka, ibu kota daerah Bosnia Republika Srpska (RS) yang ditadbir Serbia. 

Dragicevic, 49, yang anak lelakinya, David terbunuh Mac lalu “ditahan kerana gagal mematuhi arahan polis,” kata jurucakap polis Marija Markanovic kepada wartawan.

Berbulan lamanya, Dragicevic dan bekas isterinya menuduh pihak berkuasa daerah Bosnia dikawal Serbia “membunuh” anak lelaki mereka, dakwaan yang dinafikan pihak berkuasa negara itu.

Mayat pelajar jurusan teknologi berusia 21 tahun itu ditemui dalam sebatang anak sungai Mac lalu.

Polis menyifatkan kematiannya sebagai kemalangan, tetapi keluarga merasakan ada unsur khianat, mencetuskan protes paling besar berlaku di Bosnia sejak 2014.

Pendakwa raya kemudiannya mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh.

Kumpulan “Keadilan untuk David” bertemu setiap petang di pusat bandar Banja Luka selama sembilan bulan sehingga sekarang, dan pada minggu lepas mereka berkumpul di depan Parlimen RS tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Sejumlah 20 penunjuk perasaan, termasuk Dragicevic dituduh pendakwa raya “mengancam keselamatan” pegawai politik.

Dragicevic dipanggil polis untuk soal siasat tetapi enggan memberi kerjasama, kata jurucakap polis lagi.

Bekas isterinya, ibu David, Suzana Radanovic dan beberapa ahli kumpulan lain turut ditahan termasuklah ketua parti pembangkang Branislav Borenovic dan ahli Parlimen pembangkang, Drasko Stanivukovic. Mereka dituduh “melanggar ketenteraman awam”, kata polis.

Radanovic dibebaskan Selasa lalu dan menyertai penunjuk perasaan.

Menurut laporan media tempatan, penunjuk perasaan membantah tindakan polis memindahkan kawasan “peringatan” yang dikenali sebagai “David’s Square” di mana penunjuk perasaan berkumpul, membawa bunga dan menyalakan lilin setiap hari.

Polis mengusir ratusan penunjuk perasaan dari kawasan tersebut.

Delegasi Kesatuan Eropah di Bosnia dalam satu kenyataan meluahkan “kebimbangan mendalam” dan “meminta Kementerian Dalam Negeri RS memberikan penjelasan segera tentang penahanan beberapa orang berkaitan dengan pergerakan Keadilan untuk David.”

Ratusan penunjuk perasaan berarak di ibu kota Bosnia, Sarajevo dan menghalang jalan utama bagi menyatakan sokongan kepada pergerakan di Banja Luka, lapor seorang wartawan AFP.

Protes untuk David perlahan-lahan menjadi penentangan terhadap pemerintahan Milorad Dodik, pemimpin Serbia Bosnia yang memenangi pilihan raya RS Oktober lalu.

Sejak berakhirnya perang 1992-1995, Bosnia terdiri daripada dua kawasan- RS yang ditadbir Serbia dan Persekutuan Muslim-Croatia- yang disatukan oleh kerajaan campuran pusat. – AFP, 26 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen