PARLIMEN Thailand hari ini meluluskan penggunaan ganja dan ketum bagi tujuan perubatan, lapor media, menjadikan negara itu yang pertama di Asia Tenggara berbuat demikian di rantau yang mengenakan hukuman mati atas kesalahan melibatkan dadah.
Pindaan ke atas Akta Narkotik 1979 itu juga membenarkan import dan eksport serta pemilikan ganja dan ketum bagi tujuan perubatan di Thailand, lapor The Bangkok Post.
“Ini hadiah tahun baru daripada Parlimen kepada kerajaan dan rakyat Thai,” kata ahli parlimen Somchai Sawangkarn, seperti dipetik agensi berita Reuters.
Pindaan ini diluluskan dalam sidang parlimen yang dilanjutkan khusus untuk meluluskan beberapa rang undang-undang sebelum tahun baru.
Pindaan itu bagaimanapun hanya akan sah sebagai undang-undang selepas ia diwartakan kerajaan, lapor The Bangkok Post.
Ganja pernah dibenarkan untuk kegunaan perubatan di Thailand sebelum ia diharamkan pada sekitar 1930-an.
Pindaan itu juga membolehkan pengguna membawa jumlah tertentu bahan berkenaan untuk tujuan rawatan dengan syarat mempunyai preskripsi yang disyorkan, lapor media.
Sebelum Thailand, Kanada juga menghalalkan ganja bagi tujuan perubatan Oktober lalu, lebih kurang setahun selepas Uruguay melaksanakannya.
Malaysia juga membahaskan isu sama beberapa bulan lalu selepas seorang lelaki dijatuhkan hukuman mati pada akhir Ogos setelah didapati bersalah memiliki ganja, yang dalam pembelaannya dikatakan bagi tujuan perubatan.
Pada Oktober, Putrajaya bagaimanapun mengumumkan penangguhan pelaksanaan hukuman mati sementara menunggu pindaan memansuhkan hukuman itu. – 25 Disember, 2018.
Komen