SEKURANG-kurangnya lima orang terbunuh dan 21 yang lain cedera selepas bas yang dirampas merempuh ruang pejalan kaki di wilayah timur China Fujian pada petang Selasa, demikian laporan media negara itu.
Perampas yang membawa pisau itu telah ditahan dan sedang disiasat polis tempatan, lapor televisyen CGTN.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.20 petang di bandar Longyan, lapor akhbar tempatan Minxi Ribao. Seorang anggota polis adalah antara lima individu yang disahkan mati.
Dalam video yang disiarkan Duowei, sebuah saluran media Cina yang berpangkalan di Amerika Syarikat, beberapa orang yang cedera sedang berbaring di jalan berhampiran bas yang merempuh mereka, bahagian depan bas berkenaan dilihat rosak teruk.
Ia juga turut merakam seorang individu bergelut dengan pasukan polis.
Darah juga turut kelihatan di bahagian tangga bas berkenaan yang berhenti di tengah jalan.
Perampas itu kemudian menyerang seorang penumpang wanita sebelum merampas bas berkenaan, lapor Duowei lagi.
Suspek belum dikenalpasti sementara biro keselamatan awam Longyan enggan mengulas ketika dihubungi oleh AFP. – AFP, 25 Disember, 2018.
Komen