SETAKAT jam 1 petang waktu Indonesia (2pm waktu Malaysia), 429 orang disahkan maut dalam tragedi tsunami Selat Sunda yang melanda Indonesia.
Angka itu dijangka akan terus meningkat kerana kerja menyelamat dan mencari di lima penempatan terkena bencana di Banten dan Lampung masih diteruskan, menurut laporan CNN Indonesia.
Kepala Pusat Data Informasi dan Humas Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho dipetik berkata, selain jumlah maut itu, 1,485 lagi mangsa dilaporkan cedera, 154 masih hilang dan 16,082 terpaksa dipindahkan.
Bencana tsunami yang berlaku Sabtu lalu itu disebabkan letusan gunung berapi Anak Krakatau dan bukannya gempa bumi seperti kebiasaan, menyebabkan tidak cukup masa untuk amaran dikeluarkan kepada penduduk kawasan sekitar.
Ia merupakan bencana alam ketiga terbesar melanda Indonesia dalam tempoh enam bulan, susulan siri gempa kuat di Pulau Lombok pada Julai dan Ogos serta tsunami gempa pada September yang membunuh sekitar 2,200 orang di Palu, Sulawesi.
Ia juga berlaku kurang seminggu sebelum ulang tahun ke-14 kejadian tsunami 2004, salah satu bencana paling dahsyat dalam sejarah dunia yang membunuh hampir 220,000 orang di beberapa negara di sekitar Lautan Hindi, termasuk dianggarkan 168,000 rakyat Indonesia.
Indonesia adalah satu daripada negara paling kerap dilanda bencana disebabkan kedudukannya di atas “Lingkaran Api Pasifik”, di mana plat tektonik berlanggaran. – 25 Disember, 2018.
Komen