Penyanyi Seventeen kebumi isteri, ahli kumpulan terbunuh tsunami


Penyanyi Seventeen Riefian Fajarsyah (dua kiri) kehilangan isteri, semua ahli kumpulan, pengurus dan krew mereka dalam tsunami melanda Indonesia. – Gambar Instagram, 25 Disember, 2018.

PENYANYI kumpulan muzik Indonesia, Seventeen mengebumikan isterinya, susulan tragedi yang juga menyaksikan tiga rakan kumpulannya turut terbunuh selepas tsunami melanda konsert mereka.

Rakaman dramatik yang tular menunjukkan peminat bertepuk tangan dan bersorak sebelum gelombang besar melanda konsert terbuka itu, menghanyutkan kumpulan tersebut daripada pentas sebelum menghempas hadirin.

Penyanyi utama kumpulan tersebut, Riefian Fajarsyah dalam sebuah klip video dimuat naik di media sosial menunjukkan beliau mengusap keranda yang membawa isterinya, Dylan Sahara, seorang pelakon dan personaliti TV ke kampung halamannya di Ponorogo di timur Jawa.

“Bagaimana aku hidup tanpamu, Dylan Sahara?” tulis Fajarsyah dalam akaun Instagramnya.

Sahara- yang akan bertanding merebut kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang – dikenal pasti di sebuah hospital pagi semalam, menurut laporan media Indonesia.

Sahara, 25, adalah anak perempuan seorang ahli politik terkenal menghadiri konsert suaminya di Tanjung Lesung apabila tsunami melanda.

Kejadian itu berlaku sehari sebelum ulang tahun kelahiran ke-26nya.

“Isteriku memang bukan manusia yang sempurna, begitupun aku. Tapi dia ga pernah berhenti buat terus terus menjadi isteri yang baik

“Dan buatku memang dia adalah isteri terbaik yang mungkin diberikan Allah buatku, I couldn’t ask for more ya Allah,” tulis Fajarsyah dalam Instagram untuk isterinya itu.

Puluhan ribu orang menyampaikan ucap takziah kepada Fajarsyah menerusi media sosial termasuklah selebriti terkenal dan ahli politik.

Pengebumian diadakan semalam untuk pemain bass, gitar, pengurus konsert dan krew kumpulan itu yang terbunuh dalam bencana itu. Seorang lagi pemain gitar turut disahkan terbunuh.

Fajarsyah, 35, adalah satu-satunya yang terselamat daripada Seventeen, kumpulan itu sudah mengeluarkan belasan album dan mempunyai ramai peminat di Indonesia.

Tanpa amaran, letusan gunung berapi mencetuskan tsunami yang melanda pantai selatan Sumatera dan barat kepulauan Jawa memusnahkan hotel dan penempatan pesisir pantai. – AFP, 25 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen