DI Felda Teloi Timur, Sik di Kedah, Salimi Nayan bimbangkan masa depan orang muda di situ, risau yang mereka akan membazir zaman muda membuang masa terjebak dalam aktiviti tidak bermoral seperti penagihan dadah dan merempit.
Lelaki berusia 44 tahun itu mahu melakukan sesuatu untuk anak muda kampungnya menggunakan pengetahuannya dalam seni pertahanan diri.
Salimi yang berpengetahuan luas dalam silat dan tomoi- yang juga dikenali sebagai Muay Thai- menubuhkan Kelab Muay Thai King Cobra di kampungnya untuk anak muda menghabiskan masa mereka dengan berhemah serta membentuk tabiat hidup yang baik dan sihat.
“Tujuan utama saya mengajar adalah agar remaja-remaja dalam Felda Teloi tidak terpengaruh dengan kegiatan tidak bermoral seperti ambil dadah, mencuri, merempit.
“Untuk menyertai kelab ini, memang itu peraturan saya bagi. Saya tarik mereka (berlatih dengan disiplin) dan bagi motivasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sebelum penubuhan kelab tomoi itu, moral golongan belia di kampungya terlalu teruk disebabkan tiada aktiviti yang sihat dan berfaedah disediakan, katanya lagi.

Melalui latihan yang menuntut disiplin yang tinggi dan lasak, setiap pelatih perlu memberi komitmen termasuklah meninggalkan perkara-perkara yang dilarangkan Islam.
“Latihan buat waktu malam. Selepas maghrib, saya mulakan latihan. Saya akan tanya dulu mereka sanggup atau tidak berlatih setiap malam.
“Apabila ada aktiviti setiap malam, mereka tidak lagi terlibat dengan budaya lepak, merempit, atau lain-lain kerana perlu berdisiplin tinggi untuk berjaya dalam sukan tomoi,” katanya lagi yang turut kini mempunyai hampir 50 orang pelatih bagi tahun ini.
Tambahnya, beliau juga akan memaklumkan ibu bapa pelatih pergerakan dan kemajuan latihan anak-anak mereka.
Latihan tomoi juga mampu menguatkan jati diri kepada remaja-remaja yang terlibat seterusnya menjadi “pendinding” kepada mereka, katanya lagi.
“Latihan (tomoi) lasak membentuk jati diri yang positf. Mereka sentiasa jaga disipin termasuk menjaga pemakanan dan stamina. Kalau tiada stamina, mental tidak kuat, mereka tidak dapat menguasai teknik-teknik bela diri dalam tomoi,” tambahnya.
Caj yang dikenakan untuk latihan tomoi kelab tersebut adalah RM21.25 untuk sesi pendahuluan selama tiga bulan, dan jika mereka berminat meneruskannya, bayaran yang dikenakan hanyalah sebanyak RM15.25 sekali bayaran sahaja.
“25 sen itu adalah syarat dahulu kala dalam adat Orang Melayu, sebagai satu pengeras kepada jurulatih. Setiap lima sen itu merangkumi teknik main tapak, main angin, main gundi, main tepis, dan sparing (berlawan dua orang),” jelas beliau.

Sepanjang beliau menjadi jurulatih, beberapa pelatihnya berjaya dibawa ke pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sesi latihan akan dilakukan di sebuah tapak yang mempunyai gelanggang, bumbung, beg penumbuk tetapi kelengkapan itu merangkumi 40% keperluan latihan sahaja.
Malah, kelengkapan itu diberikan oleh Kerajaan Negeri Kedah dua tahun lepas dan sehingga kini, beliau menaik taraf pusat itu sedikit demi sedikit.
Jelasnya, beliau sentiasa menghadapi masalah kewangan untuk membawa mereka untuk menyertai apa-apa kejohanan.
“Biasanya saya menggunakan duit poket sendiri untuk menampung (pelatih yang layak ke kejohanan). Peruntukan tidak tetap, tetapi kebiasannya seseorang atlet yang dibawa ke kejohanan memerlukan RM 300-RM 400 sahaja.”

Walaupun pernah meminta bantuan, tetapi menurutnya ia tidak berjaya kerana perlu ada “kabel”.
“Saya pernah minta dana daripada beberapa pihak termasuk Jabatan Belia dalam Felda tetapi ada masalah kronisme. Saya tidak pernah minta dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Persatuan Muay Thai Kedah kerana ada masalah yang sama.
“Kena ada kabel, kenal dengan mereka dan ikut cara mereka baru boleh dapatkan dana,” dakwanya.
Sekalipun sesi latihan dijalankan penuh kekurangan, ia tidak melunturkan semangat pelatih untuk terus berjaya.
Salah seorang pelatih, Muhammad Rafie Iskandar, 16, berkata cita-citanya untuk mewakili Malaysia merupakan pendorong untuknya terus berlatih.
“Saya berlatih sejak umur 11 tahun. Kami berlatih bersungguh-sungguh dan sentiasa dapat kata-kata semangat daripada rakan dan jurulatih.
“Apabila kami berlatih bersama-sama setiap hari, kami pun tidak mempunyai keinginan untuk melibatkan diri dengan perkara negatif,” katanya. – 25 Disember, 2018.
Komen