BANTUAN sangat diperlukan di kawasan terjejas tsunami di Indonesia hari ini dengan pekerja kemanusiaan berkata yang mereka kekurangan bekalan air bersih dan ubat-ubatan susulan ribuan orang memenuhi pusat pemindahan sementara.
Kebimbangan mengenai krisis kesihatan awam akan berlaku apabila angka kematian akibat bencana gunung berapi pada Sabtu lalu hampir mencecah 400 orang dengan ribuan lagi kehilangan tempat tinggal.
“Ramai kanak-kanak yang sakit akibat demam, sakit kepala dan mereka tidak mempunyai cukup air,” kata Rizal Alimin, seorang doktor yang bekerja untuk kumpulan masyarakat sivil Aksi Cepat Tanggap, di sebuah sekolah tempatan yang dijadikan tempat perlindungan sementara.
“Kami kekurangan bekalan ubat daripada biasa ... Keadaan di sini sihat untuk mangsa. Tiada air bersih yang mencukupi. Mereka memerlukan makanan dan terdapat orang yang tidur di lantai. “
Tsunami kuat melanda pada waktu malam tanpa sebarang tanda, membadai beberapa pantai popular di selatan Sumatera dan Jawa barat serta merobohkan hotel pelancongan dan penempatan di pantai.
Jumlah kematian terbaru adalah 373 orang, dengan 1,459 orang cedera dan 128 lain masih hilang.
Pakar memberi amaran gelombang lebih besar berkemungkinan melanda kawasan terjejas.
Lebih 5,000 penduduk yang terselamat terlalu takut untuk pulang ke rumah, bimbang berlakunya satu lagi bencana.
“Saya berada di sini sejak tiga hari,” kata Neng Sumarni, 40, yang sedang tidur dengan tiga anak dan suaminya di lantai sekolah dengan puluhan penduduk lain.
“Saya takut kerana rumah saya betul-betul berhampiran pantai.”
Abu Salim, dengan kumpulan sukarelawan Tagana, berkata pekerja bantuan berusaha menstabilkan keadaan.
“Hari ini, kami memberi tumpuan kepada membantu mangsa di tempat perlindungan dengan membina dapur awam dan mengedarkan logistik dan lebih banyak khemah di tempat yang sesuai,” katanya.
“(Orang) masih tidak mempunyai akses kepada air ... Terdapat banyak mangsa melarikan diri ke tanah lebih tinggi dan kami masih tidak dapat mendekati mereka.”
Bantuan masuk terutamanya melalui jalan raya manakala dua bot kerajaan sedang dalam perjalanan ke beberapa pulau berhampiran pantai Sumatera untuk membantu puluhan penduduk yang terjejas. – AFP, 25 Disember, 2018.
Komen