PELAKON menang anugerah Oscar AS, Kevin Spacey akan berdepan pertuduhan jenayah kerana melakukan serangan seksual ke atas seorang remaja di sebuah restoran pada 2016, kata pendakwa raya semalam.
Spacey dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Daerah Nantucket pada 7 Januari atas pertuduhan serangan menurut Pejabat Pendakwa Raya Cape dan Islands, Massachusetts.
Pihak pendakwaan tidak menamakan nama mangsa kejadian Julai 2016, tetapi bekas pengacara berita Boston, Heather Unruh pada sidang media tahun lepas berkata polis sedang menyiasat laporan dilakukan anak lelakinya terhadap bintang House of Cards dan American Beauty itu.
Unruh memberitahu wartawan yang bintang berusia 59 tahun itu menyerang seksual anak lelakinya di Nantucket selepas memabukannya di sebuah bar pada Julai 2016.
Unruh menggambarkan anak lelakinya ketika itu sebagai remaja 18 tahun yang “terpesona dengan bintang Spacey, dan straight”.
“Kevin Spacey membelinya minuman demi minuman, dan apabila anak saya mabuk, Spacey bertindak menyerangnya secara seksual,” katanya pada sidang media di Boston.
“Spacey menyeluk seluar anak saya dan mengenggam kemaluannya,” kata Unruh. Anaknya yang mabuk panik dan terkejut.
Ketika Spacey pergi ke bilik air, anak lelakinya melarikan diri ke rumah neneknya dan memberitahu kakaknya tentang apa yang berlaku.
Spacey dianggap salah seorang pelakon terbaik generasinya. Kerjayanya tumbang selepas timbul dakwaan salah laku seksual daripada berpuluh lelaki di AS dan Britain.
Laporan pertama mengenai salah laku seksual terhadap pelakon itu dibuat Anthony Rapp yang mendakwa Spacey menyerangnya secara seksual ketika Rapp berusia 14 tahun pada 1986.
Spacey meminta maaf kepada Rapp, mendakwa tidak ingat kejadian tersebut tetapi berdiam diri selepas tuduhan ke atasnya semakin banyak.
Kesannya, Netflix menggugurkan Spacey daripada siri House of Cards dan adegannya dalam filem All the Money in the World arahan Ridley Scott dipotong. – AFP, 25 Disember, 2018.
Komen