GABENOR negeri Puebla, Mexico dan suaminya, seorang senator dan bekas gabenor terbunuh semalam dalam nahas helikopter, kata presiden negara itu.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador menerusi Twitternya mengucapkan takziah kepada keluarga Senator Rafael Moreno Valle dan isterinya Gabenor Puebla Martha Erika Alonso.
“Saya mengambil tanggungjawab untuk menyiasat punca kejadian dan mendedahkan kebenaran apa yang berlaku,” tulisnya lagi.
Media tempatan melaporkan yang juruterbang dan seorang lagi turut terbunuh dalam nahas itu.
Helikopter itu terhempas di Santa Maria Coronango, di Puebla dan punca nahas masih disiasat.
Alonso mengangkat sumpah selaku gabenor pada 14 Disember lepas selepas tribunal pilihan raya mengesahkan kejayaannya pada pilihan raya Julai lalu.
Beliau adalah wanita pertama jadi gabenor di Puebla, suaminya adalah gabenor kawasan sama sejak 2011 hingga 2017.
Menurut perlembagaan negeri, dewan negeri perlu melantik gabenor sementara dan mengadakan usul undi luar biasa dalam tempoh tiga hingga lima bulan. – AFP, 25 Disember, 2018.
Komen