PIHAK berkuasa Maghribi menahan lima individu yang dikaitkan dengan pembunuhan dua wanita Scandinavia di pergunungan Atlas minggu lalu, kata ketua anti pengganas negara itu semalam.
Penangkapan itu dibuat di beberapa bandar raya, yang menjadikan 18 orang ditahan atas pembunuhan itu. kata Abdelhak Khiam, ketua pejabat bandar Maghribi bagi siasatan kehakiman.
“Dua mangsa ditikam, leher dikelar dan kemudian dipenggal,” katanya kepada AFP.
Empat suspek utama dalam kes yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai tindakan pengganas ditangkap antara Isnin dan Khamis lalu di bandar pelancongan Marrakesh.
Pelajar Denmark, Louisa Vesterager Jespersen, 24, dan Maren Ueland dari Norway yang berusia 28 tahun, didapati mati di kawasan pendalaman terpencil di selatan Marrakesh pada 17 Disember.
Penyiasat berkata pada Isnin “sel” yang dibongkar terdiri daripada 18 ahli, termasuk tiga dengan rekod jenayah berkaitan pengganas.
“Emir kumpulan” ialah Abdessamad Ejjoud, seorang penjual jalanan berusia 25 tahun yang tinggal di pinggir Marrakesh, kata Khiam.
Ejjoud “mewujudkan sejenis sel yang membincangkan cara melakukan perbuatan pengganas di dalam kerajaan”, katanya kepada AFP.
Beliau dikatakan berada dalam video seminggu sebelum pembunuhan, dengan empat orang suspek dilihat melafaz taat setia kepada pemimpin kumpulan militan Islamic State (IS) Abu Bakr al-Baghdadi dengan dilatari bendera kumpulan itu.
Pembunuh yang didakwa itu “bersetuju dengan pengaruh emir mereka untuk melakukan perbuatan pengganas ... mensasarkan perkhidmatan keselamatan atau pelancong asing”, kata Khiam.
Dua hari sebelum pembunuhan, mereka didakwa pergi ke Imlil “kerana ia sering dikunjungi oleh warga asing” dan “mensasarkan dua pelancong di kawasan yang terpencil”, tambahnya.
Individu lain yang disyaki terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu adalah Abderrahim Khayali, seorang tukang paip berusia 33 tahun; tukang kayu Younes Ouaziyad, 27; dan Rachid Afatti, penjual jalanan berusia 33 tahun.
Ouaziyad dan Afatti bersama Ejjoud semasa pembunuhan, kata Khiam.
Pembunuhan itu menggemparkan Norway, Denmark dan Maghribi. Satu lagi video yang tular di media sosial didakwa menunjukkan pembunuhan salah seorang pelancong. – AFP, 25 Disember, 2018.
Komen