DR Mahathir Mohamad akan menangani isu wakil rakyat Umno yang berpaling tadah kepada Bersatu pada mesyuarat agung tahunan (AGM) keduanya hujung minggu ini, kata Marzuki Yahya.
Setiausaha agung Bersatu itu berkata Dr Mahathir, yang juga pengerusi parti, dijangka menentukan peranan parti dalam kerajaan ketika ia mengadakannya untuk pertama kali sebagai parti yang berkuasa.
“Isu lompat parti akan ditangani oleh pengerusi,” kata Marzuki ketika desas-desus mengatakan ahli Parlimen dan Adun Umno yang meninggalkan parti akan menyertai Bersatu.
Setakat ini, parti itu sudah menerima tiga bekas ahli Parlimen Umno.
Mereka adalah bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri serta Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamad; bekas ketua Puteri Umno dan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin; dan Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali.
Beliau berkata tiga ahli Parlimen Umno yang diterima parti akan menghadiri perhimpunan itu.
“Mereka hanya ahli biasa. Mereka tidak akan diberikan sebarang platform untuk bercakap,” katanya semasa wawancara baru-baru ini.
Dalam tempoh dua minggu lalu, 19 wakil rakyat Umno meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri mereka bebas. Tetapi dikatakan mereka sedang menunggu untuk menyertai Bersatu.
Dr Mahathir berulang kali menyatakan parti itu hanya akan menerima mereka yang mempunyai rekod bersih dan tidak dicemari oleh skandal.
Marzuki berkata AGM kedua hujung minggu ini adalah penting untuk masa depannya.
“AGM pertama kami sebagai pembangkang dan yang pertama sebagai parti dalam kerajaan. Ini adalah titik permulaan bagi kami,” katanya.

Marzuki, yang juga timbalan menteri luar negara, berkata perwakilan akan menggunakan platform untuk membahaskan dasar ekonomi dan pendidikan untuk kerajaan.
“Kedudukan ekonomi dan pendidikan orang Melayu masih terkebelakang dan ia akan membincangkan mengenai bagaimana ia dapat dibangunkan,” katanya.
Tetapi seperti AGM yang pertama, perbahasan perwakilan Bersatu adalah tertutup kerana bimbang komen yang terlalu “beremosi” boleh menyinggung ahli komponen gabungan Pakatan Harapan.
“Kami adalah parti baru dan penceramah boleh menjadi emosi. Walaupun kita adalah parti Melayu, kita tidak mahu penceramah bercakap mengenai isu Melayu dengan mengorbankan hak kaum lain.
“Ini adalah Malaysia. Untuk menjadi kerajaan yang baik, kita memerlukan semua kaum. Kami tidak mahu insiden di mana orang bercakap tentang kaum lain dan lupa kita adalah negara pelbagai kaum,” kata pengerusi negeri Pulau Pinang itu.
Marzuki berkata, Bersatu harus mengelak daripada mengulangi kesilapan sama seperti Umno, yang mencapai tahap ahli tidak dapat membezakan antara bersuara dalam parti, dan bersuara sebagai sebahagian daripada kerajaan.
“Pentadbiran sebelumnya berpendapat parti juga adalah kerajaan dan boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu dan dengan itu kalah. Parti adalah parti, dan kerajaan adalah kerajaan. Ia adalah dua organisasi yang berbeza.”
Beliau berkata walaupun penceramah akan diberi garis panduan tertentu, mereka bebas untuk bersuara.
“Tidak akan ada cubaan menghentikan sesiapa daripada bercakap kebenaran. Sebelum ini, orang dihalang daripada bercakap tentang isu 1Malaysia Development Berhad. Kami tidak mahu menghalang sesiapa seperti itu.” – 25 Disember, 2018.
Komen