Bekas PM Pakistan dipenjara 7 tahun kerana rasuah 


Bekas perdana menteri Pakistan Nawaz Sharif menafikan semua pertuduhan terhadapnya dan mendakwa dirinya menjadi sasaran penubuhan keselamatan negara yang ketat.– Gambar EPA, 24 Disember, 2018 

BEKAS perdana menteri Pakistan Nawaz Sharif dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana rasuah, lapor media negara itu, dan merupakan sabitan terbaru dalam siri pendakwaan yang menyaksikan beliau digulingkan tahun lalu.

Sharif yang menjadi perdana menteri sebanyak tiga kali, menafikan semua pertuduhan terhadapnya dan mendakwa dirinya menjadi sasaran penubuhan keselamatan negara yang ketat.

Pendakwaan pada Isnin itu yang melibatkan perniagaan keluarganya di Timur Tengah, merupakan siasatan kedua tuduhan rasuah yang didedahkan oleh Panama Papers, yang timbul selepas Perdana Menteri Imran Khan berikrar untuk membanteras gejala rasuah di Pakistan.

Beliau yang ditahan dan akan dihantar ke penjara di Lahore, turut dikenakan dengan 1.5 bilion rupee, menurut laporan stesen TV Pakistan.

Kawalan keselamatan terpaksa ditingkatkan di mahkamah, berikutan berlaku kekecohan antara penyokong Pakistan Muslim League-Nawaz (PML-N) dan pasukan keselamatan, yang terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Shahid Khaqan Abbasi, yang menggantikan Sharif sebagai perdana menteri tahun lalu berkata, PML-N akan membuat rayuan di mahkamah berhubung sabutan itu namun tidak akan “menyebabkan keganasan”.

“Rakyat Pakistan dan sejarah tidak akan menerima keputusan ini,” katanya kepada pemberita di Islamabad.

Mahkamah Agung mengharamkan Sharif terlibat dalam politik seumur hidup berikutan dakwaan rasuah tahun lalu, dan mengarahkan badan anti-rasuah negara itu menyiasat tiga tuduhan berasingan berhubung harta dan perniagaan keluarganya. – AFP, 24 Disember, 2018 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen