Dakwaan hina mahkamah syariah 'tiada asas perundangan', kata peguam


Jason Santos

Komen yang ditulis pada 17 Mei oleh Baizurah Masri di Facebook dilakukan selepas tidak puas hati dengan sistem pengurusan Mahkamah Syariah Kota Kinabalu. – Gambar Facebook, 24 Ogos, 2017.

DAKWAAN mahkamah syariah kepada seorang pembantu makmal kanan tidak mempunyai asas perundangan kerana komen yang dilakukan adalah ditujukan kepada institusi dan bukannya Islam, kata peguamnya hari ini.

Marcel Jude Joseph, yang mewakili Baizurah Basri berkata dakwaan itu adalah bersifat ultra vires (melampau bidang kuasa atau autoriti sah seseorang) kerana ia menganggap ‘kritikan membina’ ke atas tingkah laku pegawainya sebagai satu penghinaan kepada mahkamah.

“Ia kritikan membina, bukan menghina. Mahkamah syariah perlu mengalukan kritikan sebegitu dan tidak menghukum,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Baizurah membawa kes itu ke mahkamah sivil yang akan melakukan semakan kehakiman bagi membatalkan dakwan Mahkamah Syariah Sandakan pada 7 September depan.

Wanita berusia 36 tahun itu didakwa menghina mahkamah dan enggan menarik balik kenyataan tersebut dan mengeluarkan permohonan maaf ke atas catatannya di media sosial yang tular baru-baru ini.

Baizurah pada 17 Mei lalu menerusi akaun Facebooknya menulis yang ““sistem macam takda… pembesar suara pun takda…maka pekerja terjerit-jerit memanggil nama. Dari pekerja biasa sampailah judge… kedekut senyum.

“Ada pemanggil nama ni sambil panggil nama sambil lah bersalaman dengan keluarga dan sahabat handai di luar. Orang yang berurusan terpinga pinga tunggu dia habis berbual.”

Dia mengakhiri komennya dengan bertanya: “Persoalannya sampai bila sistem yg begini tidak diperbaiki?”

Baizurah ke Mahkamah Syariah Kota Kinabalu untuk menjadi saksi dalam kes melibatkan seorang kawannya.

Selepas komen di Facebook itu, kata Baizurah, seorang lelaki yang mendakwa wakil mahkamah mula meninggalkan mesej “berbaur ugutan” dan mengganggunya di platform media sosial itu.

“Lelaki itu menggunakan akaun palsu dengan nama Siyarus Salikin. Hanya selepas saya bertanya beberapa kali, dia memberitahu saya namanya Readwan Roslan, tetapi tidak menyebut apakah dia bekerja di mahkamah syariah,” katanya.

Menurut Marcel, mahkamah syariah sebagai sebuah institusi tidak mempunyai hak untuk menyaman dan kerana itu melampaui bidang kuasanya dengan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Baizurah.

Berdasarkan notis mahkamah hanya pemohon yang dinamakan sebagai responden tetapi “pendakwa” atau “plaintif” dan “pendakwaraya” tidak dinamakan, kata Marcel lagi.

“Dan walaupun sekiranya ini soal jenayah fitnah, pendakwaraya bergantung kepada polis dan responden perlu dipanggil pihak berkuasa untuk memberikan kenyataan di Karamunsing, Kota Kinabalu.

“Tetapi hingga sekarang, tiada berita daripada polis dan responden tidak didakwa dengan jenayah fitnah,” kata Marcel menambah yang kata-kata yang dikeluarkan Baizurah tidak berbaur fitnah biarpun dikeluarkan di Facebook.

Seorang peguam syariah, Hamid Ismail berkata ini kali pertama dia mendengar kes sebegini, menambah biarpun begitu, Baizurah perlu menjelaskan tindakannya dan membela diri di mahkamah syariah.

“Tentang tindakannya di mahkamah sivil menentang hakim mahkamah syariah, saya merasakan tindakan itu tiada merit kerana Seksyen 28 Enakment Mahkamah Syariah 2004 melindungi hakim mahkamah syariah yang menjalankan tugasnya,” katanya.

Apabila ditanya sekiranya Baizurah melakukan kesalahan dan sama ada wajarkah dia memfailkan samannya di mahkamah sivil, Hamid berkara: “Saya tak fikir dia buat apa-apa salah,” tetapi dia tidak patut mengambil saman sivil.

Sementara itu, Baizurah mengatakan dia tidak akan menghadiri semakan kehakiman.

“Peguam saya kata saya tak perlu datang. Kecuali dia suruh, saya tak fikir saya akan pergi,” katanya.

Mahkamah Syariah Sabah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. – 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen