Chow Yun Fat mahu derma semua harta


Chow Yun Fat, bintang filem ternama dunia berikrar menyerahkan semua hartanya mencecah lebih AS$700 juta untuk kebajikan selepas meninggal dunia. – Gambar EPA, 24 Disember, 2018.

BINTANG filem Chow Yun Fat mungkin adalah salah satu nama besar zaman emas filem Hong Kong tetapi pelakon rendah diri itu sudah berikrar untuk mendermakan seluruh hartanya selepas meninggal.

Bintang yang dikenali ramai menerusi filem Crouching Tiger, Flying Dragon, Pirates of Caribbean dan A Better Tomorrow itu sudah lama memikat hati peminatnya dengan gaya hidup sederhana.

Chow, 63, menyertai senarai pelakon dengan bayaran tertinggi di dunia dikeluarkan Forbes pada 2015, berkongsi tempat ke-24 dengan Russell Crowe.

Tetapi gaya hidupnya di Hong Kong- yang penuh dengan selebriti dan bintang ternama- beliau masih boleh dilihat menggunakan pengangkutan awam dan beratur membeli tiket menonton filemnya sendiri.

Kali ini, beliau berjanji akan menderma seluruh hartanya yang dianggarkan mencecah HK$5.6 bilion (AS$715 juta).

“Duit bukannya sesuatu yang anda miliki selamanya. Bila anda dah tiada, anda perlu tinggalkannya untuk orang lain guna,” katanya kepada sebuah media Korea Selatan, MBC pada wawancara disiarkan minggu lepas.

“Anda tak boleh bawa duit anda dalam akaun bank bersama selepas meninggal,” katanya, menambah yang isterinya “menyokong kuat” keputusannya.

Jurang kekayaan di Hong Kong mencatat jurang terbesar tahun lepas, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk bekas tanah jajahan British yang kini diperintah China sejak dua dekad lalu.

Harga yang meningkat naik serta kos sara hidup yang tinggi memberi tekanan kepada penduduk, malah kebanyakan keluarga juga terpaksa berkongsi rumah.

Sementara itu, kumpulan elit kaya negara itu terus menunjukkan kekayaan luar biasa demi mengejar status.

Chow, yang lebih mesra dengan nama “Abang Fat” di Hong Kong meraih pujian ramai kerana gaya hidupnya yang sederhana walaupun berstatus bintang ternama.

Media tempatan membuat anggaran kekayaannya, tetapi rata-rata bersetuju beliau memiliki ratusan juta dolar. Chow bagaimanapun berkata beliau tidak tahu jumlah hartanya.

Isterinya, Jasmine Tan sebelum ini dilaporkan memberitahu yang suaminya gemar makan di gerai tepi jalan dan hanya menukar telefon bimbitnya selepas ia rosak.

Puluhan hartawan dunia perniagaan menandatangani ikrar janji “The Giving Pledge” dimulakan Bill Gates dan Warren Buffet yang mahu menggalakkan kelompok elit dunia menderma harta mereka.

Tetapi tidak ramai bintang Hollywood dan Asia yang menyertai senarai itu.

Dalam wawancara bersama MBC juga membincangkan tentang makanan kegemarannya yang ringkas, akar bunga teratai bersama nasi.

“Saya gembira kalau ada makanan, kerana kami agak miskin dahulu. Saya sangat gembira kalau dapat makan ubi dan sayur, dan bertambah gembira kalau saya dapat makan ayam atau daging ketika tahun baru,” katanya. – 24 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen