RANGKAIAN kejadian tidak disangka dan sistem amaran awal yang tidak mencukupi sebelum tibanya tsunami yang menghempas kawasan pantai di Indonesia itu membunuh hampir 300 orang setakat ini, kata pihak berkuasa.
Tsunami menyerang pantai pelancongan dan penempatan penduduk di kedua-dua belah di Selat Sunda dengan kuasa sangat kuat pada Sabtu malam, tetapi kedua-duanya penduduk dan pemantau bencana betul-betul tidak sedar kedatangannya.
Dalam beberapa siri Twitter kemudian, agensi bencana negara itu memohon maaf kerana pada awalnya berkata “tiada ancaman tsunami” walaupun ketika itu ombak sudah membadai di beberapa bahagian di selatan Sumatera dan barat Jawa.
“Kekurangan sistem amaran awal punca kenapa tsunami itu tidak dikesan,” kata jurucakap agensi itu Sutopo Purwo Nugroho.
“Tanda tsunami akan datang tidak dapat dikesan dan orang ramai tidak ada masa berpindah dan menyelamatkan diri,” katanya.
Indonesia antara negara yang terletak dalam kawasan paling cenderung dilanda bencana alam kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.
Tsunami dan gempa bumi melanda Palu di kepulauan Sulawesi pada September membunuh 2,200 orang, dengan ribuan lagi hilang dan dianggap mati.
Stesen pemantauan air pasang dan alat data yang digunakan agensi pemantau Indonesia untuk meramalkan tsunami – biasanya dikesan ketika bermulanya gempa bumi.
Tetapi walaupun jika semua stesen di seluruh republik itu berfungsi, jaringannya terhad dan memberi masa yang sedikit untuk penduduk melarikan diri kerana ia dapat mengesan ombak ketika sudah hampir dengan pantai.
Usaha untuk memperbaiki sistem sekian lama menjadi masalah, daripada kegagalan menyelia peralatan baharu hinggalah kepada pertikaian birokrasi.
Pakar berkata bencana terbaru itu mungkin berpunca daripada letusan gunung berapi Anak Krakatoa di Selat Sunda yang mencetuskan pergerakan dalam laut.
Jika tidak, ia mungkin berpunca daripada jumlah air yang terlalu banyak hingga menyebabkan tsunami. – AFP, 24 Disember, 2018.
Komen