Bersatu mungkin masuk Sabah, sedang runding dengan Warisan


Sheridan Mahavera

Menurut Presiden Muhyiddin Yassin ia susulan desakan beberapa pihak yang mahukan Bersatu masuk ke Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Disember, 2018.

BERSATU sedang berunding dengan Warisan tentang kemungkinan parti Semenanjung itu masuk ke Sabah susulan tuntutan beberapa pihak yang mahukannya berbuat demikian, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, kemasukan Bersatu ke Sabah hanya akan berlaku jika mendapat persetujuan Warisan kerana tidak mahu mewujudkan konflik sokongan di Sabah.

“Kami mahu Warisan berunding dengan orang tertentu terlebih dahulu supaya mereka (Warisan) boleh terima semua orang. Kami tak mahu ada konflik dengan Warisan kerana kepentingan Warisan juga penting. Mereka parti pro-PH (Pakatan Harapan) dan Pakatan adalah penting,” katanya kepada wartawan hari ini.

“Tetapi jika majoriti daripada mereka masih tak mahu masuk Warisan dan mereka masih mahu bersama kami, kami sudah ada persefahaman dengan Warisan,” tambahnya.

Kemasukan Bersatu ke Sabah menimbulkan spekulasi selepas ramai ahli, Adun dan ahli Parlimennya meninggalkan parti Melayu itu minggu lalu dan menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Umno.

Mereka yang keluar parti itu menyatakan hasrat untuk menyertai Bersatu berbanding parti memerintah Sabah, Warisan. Bersatu bagaimanapun tiada di Sabah berikutan persefahaman antaranya dengan Warisan.

Bersatu merupakan sebahagian daripada empat gabungan parti yang memegang kuasa peringkat persekutuan, manakal Warisan, yang meruaan parti mesra PH, menerajui Sabah. Lapan ahli Parlimen Warisan menyatakan sokongan mereka terhadap pentadbiran PH.

Persefahaman antara PH dan Warisan kata Muhyiddin, dimeterai sebelum PRU14, ketika kedua-dua parti itu berkempen menentang Barisan Nasional di peringkat persekutuan dan negeri.

“Kita sudah berjanji yang kita tidak akan menubuhkan cawangan di Sabah kerana kita mahu Warisan menjadi parti pilihan untuk Sabah. Strategi kami adalah baik kerana kuta menang kerana tidak bertanding menentang antara satu sama lain. Kita mampu membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan Sabah.”

“Tetapi kini ada permintaan untuk kita ke Sabah tetapi kita perlu berhati-hati. Kita tidak mahu timbul konflik antara kita dan Warisan.”

Sekiranya Bersatu akan menubuhkan cawangan dan bahagian seperti di Semenanjung dan Sarawak, ia perlu dibuat dengan persefahaman dengan Warisan agar tidak bertanding menentang sama sendiri, katanya.

“Kita tidak mahu situasi bila kita bertanding pada pilihan raya, Warisan mahu bertanding dan kita mahu bertanding dan kita sama-sama akan kalah kerana pecahan undi.”

Muhyiddin berkata beliau telah menetapkan tempoh sebulan untuk menyelesaikan rundingan dengan Warisan. – 24 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen