KETUA Komunikasi AirAsia Mohd Aziz Laikar Ali dipanggil polis susulan video dimuat naik ke Twitter mempersoalkan tahap kebersihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hari ini.
Polis mahu mengambil keterangannya selepas laporan polis dibuat pihak Malaysian Airports Holding Berhad (MAHB) yang menguruskan klia2.
Bagaimanapun, Aziz hanya boleh datang memberikan keterangan di Balai Polis klia2 pada Rabu ini.
“Ya, saya terima panggilan daripada inspektor pagi tadi sekitar jam 8.30 pagi. Saya diminta datang ke balai untuk beri keterangan.
“Bagaimanapun saya tengah bercuti dan hanya boleh pergi pada Rabu dan pegawai (polis) itu bersetuju,” kata Aziz ketika dihubungi.
“Saya tak tahu bila mereka (MAHB) buat laporan terhadap saya,” tambahnya.
Seorang pegawai polis lapangan terbang itu mengesahkan menerima laporan tersebut.
Beberapa hari lepas, Aziz memuatnaik sebuah video menunjukkan tong sampah berulat di lapangan terbang yang hampir ekslusif digunakan AirAsia itu.
Beliau kemudiannya mempersoalkan kenyataan dikeluarkan MAHB tentang prestasinya yang cemerlang dalam pengurusan lapangan terbang untuk Oktober tahun ini.
Aziz menjelaskan kepada The Malaysian Insight yang video tersebut dirakam rakan sekerjanya.
Katanya lagi, beliau hanya membangkitkan situasi sebenar lapangan terbang dan tidak berniat jahat mencemarkan imej MAHB.
“Saya tunjuk situasi sebenar. Saya bangkitkan apa yang semua orang boleh nampak di lapangan terbang.”
“Situasi itu berbeza dengan dakwaan MAHB dan saya tidak ada cubaan jahat untuk burukkan sesiapa,” jelasnya.
Aziz menambah yang orang atasannya dan pihak pengurusan kanan AirAsia sudah memberikan sokongan kepadanya susulan laporan polis tersebut.
The Malaysian Insight sudah menghubungi MAHB untuk mendapatkan ulasan.
Kejadian terbaru itu berlaku ketika kemelut antara AirAsia dan MAHB mengenai kualiti perkhidmatan klia2 dan caj perkhidmatan penumpang (PSC) semakin memuncak.
AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd mempertahankan keputusan mereka untuk tidak mengutip caj tambahan PSC sebanyak RM23 daripada penumpang yang dikenakan MAHB pada Februari 2018 kerana berpandangan penumpang tidak seharusnya dikenakan caj sama dengan KLIA untuk perkhidmatan di klia2.
Syarikat itu bertegas yang klia2 adalah terminal kos rendah yang mendapat kurang perkhidmatan berbanding KLIA. – 24 Disember, 2018.
Komen