PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad memberi mesej sokongan selepas tsunami yang dicetuskan gunung berapi menyebabkan 222 orang mati dan ratusan lagi cedera di Selat Sunda di Indonesia.
“Kemusnahan yang tidak dijangka akibat bencana tsunami di Indonesia,” tulis pemimpin Republikan itu melalui akaun Twitter.
“Lebih 200 orang mati dan hampir seribu cedera atau tidak terkira. Kami berdoa untuk pemulihan dan kesembuhan. Amerika bersama kamu!”
Beliau bersama pemimpin dunia lain yang menyampaikan takziah selepas gelombang yang memusnahkan melanda kawasan itu tanpa amaran, menghancurkan ratusan bangunan dan menumbangkan pokok.
“Saya ingin menyampaikan simpati saya kepada rakyat Indonesia yang dilanda sekali lagi oleh bencana alam,” kata Christine Lagarde, pengarah urusan Tabung Kewangan Antarabangsa, di Twitter.
PBB dan Kesatuan Eropah berjanji untuk menggerakkan sokongan kemanusiaan jika diminta oleh Jakarta.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersedia menyokong usaha menyelamat dan bantuan yang dipimpin oleh kerajaan,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam satu kenyataan. – AFP, 24 Disember, 2018.
Komen