Cukai ikan hingga hak minyak, 7 bulan Sabah dipimpin Warisan


Jason Santos

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mencakupi semua keperluan rakyat negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2018.

TUJUH bulan Sabah dipimpin kerajaan negeri baharu diketuai Warisan, Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal sibuk menangani pelbagai isu yang akan memberi kesan kepada rakyat Sabah dan negeri di bawah bayu itu.

Isunya termasuk pembalakan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak negeri, membaik pulih kewangan negeri, masalah individu tiada kerakyatan, kawalan pendatang asing dan aspek keselamatan.

Kerajaan baharu juga menyentuh tentang pembangunan modal insan, keselamatan, hal berkaitan tanah dan pembangunan.

Di bawah ini antara inisiatif popular dan tidak popular serta dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Sektor pembalakan

Salah satu tindakan terawal diambil oleh kerajaan baharu ialah mengawal sumber balak. Pada 23 Mei, Shafie mengumumkan larangan eksport kayu bulan, menyasarkan untuk meningkatkan bekalan tempatan bagi aktiviti hiliran dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.

Langkah seterusnya ialah penubuhan pasukan inkuiri dalaman untuk mengaudit sektor pembalakan bagi sebarang percanggahan, sementara kerajaan negeri mencadangkan sektor itu dibaik pulih.

Sabah di bawah kerajaan Warisan melaksanakan inisiatif bagi memperkasakan Yayasan Sabah, yang masih ada bank tanah yang banyak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Disember, 2018.

Pada Julai, ketua menteri mendedahkan urus niaga balak yang meragukan ditandatangani oleh kerajaan terdahulu Barisan Nasional dan bagaimana syarikat berkaitan kerajaan negeri, Yayasan Sabah mengalami kerugian sementara syarikat swasta mendapat keuntungan daripada bank tanah yayasan itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga melakukan siasatan, termasuk memanggil bekas ketua konservator negeri Sam Mannan untuk disoal siasat, selain menyita balak yang dikatakan daripada aktiviti pembalakan haram di Sabah.

Dilaporkan seorang ahli politik menerima sogokan daripada konsesi balak.

Industri pembalakan huluan Sabah menjana RM1.68 bilion daripada eksport balak pada 2017, jauh ketinggalan berbanding perolehan daripada industri sama di semenanjung, iaitu RM15.35 bilion.

Pada 15 November, Kabinet negeri meluluskan semakan Enakmen Perhutanan Negeri 1968 untuk fokus kepada kemapanan dan penambahbaikan domestik.

Shafie berkata rancangan turut dibuat untuk memperkasa Yayasan Sabah, yang masih ada bank tanah yang banyak, untuk memotong, membeli dan menjual balak sementara kerajaan negeri mengulangi komitmen untuk melaksanakan inisiatif pemuliharaan.

Pada 26 November, Shafie mengadakan mesyuarat dengan syarikat balak di semenanjung, berkata Sabah terbuka kepada syarikat Malaysia yang mahu membuka perniagaan di Sabah, menawarkan akses kepada bekalan mentah dan tanah untuk membina kilang. – 24 Disember, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen