INDONESIA mungkin dilanda tsunami lagi, amaran beberapa pakar pada Ahad, sehari selepas lebih 200 orang terbunuh disebabkan gelombang yang dicetuskan oleh letusan gunung berapi.
Punca tsunami
Tsunami “nampaknya tercetus oleh runtuhan bawah air” sebahagian daripada gunung berapi Anak Krakatau, kata David Rothery daripada The Open University di Britain.
Anak Krakatau adalah sebuah pulau baru yang muncul sekitar 1928 selepas Krakatau meletus, pada 1883 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 36,000 nyawa.
Gunung berapi ini aktif sejak Jun, kata Jacques-Marie Bardintzeff di Universiti Paris-Selatan.
Tsunami pada Sabtu adalah yang ketiga melanda Indonesia dalam tempoh enam bulan.
Indonesia mempunyai 127 gunung berapi aktif dan terletak di “Lingkaran Api” di Lautan Pasifik yang menyebabkan gempa bumi dan letusan gunung berapi sering berlaku.
Kenapa ia berbahaya?
Anak Krakatau terletak di Selat Sunda antara pulau Jawa dan Sumatera, berhampiran dengan zon padat penduduk.
Walaupun tsunami yang berlaku itu agak kecil, Richard Teeuw daripada University of Portsmouth di England berkata: “Gelombang sedemikian - sarat dengan serpihan - boleh membunuh komuniti pesisir pantai, terutama jika tiada amaran.”
Simon Boxall dari Universiti Southampton menambah rantau ini juga dalam pasang surut perbani, “dan nampaknya gelombang melanda sesetengah kawasan pantai di titik tertinggi air pasang ini, memburukkan lagi kerosakan yang dilakukan.”
Ia juga berlaku pada waktu malam, mengejutkan penduduk.
Kenapa penduduk tidak diberi amaran?
Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba, kata Bardintzeff.
“Selang masa hanya beberapa belas minit, terlalu singkat untuk memberi amaran kepada penduduk”.
“Amaran tsunami diposisikan untuk memberi amaran kepada tsunami yang berpunca daripada gempa bumi di sempadan plat tektonik bawah air,” kata Rothry.
“Walaupun ada boya betul-betul di sebelah Anak Krakatau, ia sangat hampir dengan pantai yang terjejas sehingga tempoh amaran menjadi minimum memandangkan kelajuan tinggi semasa gelombang tsunami bergerak.”
Mungkinkah lebih banyak tsunami berlaku?
“Kemungkinan tsunami seterusnya di Selat Sunda tetap tinggi ketika Gunung Krakatau melalui fasa aktifnya sekarang kerana ia mungkin mencetuskan tanah longsor bawah tanah,” kata Teeuw.
Bardintzeff juga memberi amaran “kita harus waspada sekarang kerana gunung berapi tidak stabil”.
Teeuw berkata tinjauan sonar kini diperlukan untuk memetakan dasar laut di sekitar gunung berapi, namun “malangnya tinjauan kapal selam biasanya mengambil masa beberapa bulan untuk diatur dan dilaksanakan,” katanya.
Tetapi “tsunami yang dahsyat disebabkan letusan gunung berapi jarang berlaku, salah satu yang paling terkenal (dan mengorbankan banyak nyawa) disebabkan oleh letusan Krakatau pada 1883.” – AFP, 24 Disember, 2018.
Komen