Pengundi Sabak Bernam persoal integriti ahli Parlimen keluar Umno


Noel Achariam

Para penyokong Umno di Sabak Bernam kesal dengan tindakan ahli Parlimennya keluar parti kerana mereka sudah bekerja keras semasa PRU14 untuk memastikan Mohd FasiahMohd Fakeh menang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Disember, 2018.

BUKAN semua orang yang mengundi Mohd Fasiah Mohd Fakeh di Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu gembira dengan keputusannya keluar Umno kerana ada antara mereka menggesa beliau melepaskan jawatan supaya pilihan raya kecil boleh diadakan.

Pengundi di kawasan itu juga mahu Fasiah berikan penjelasan mengapa beliau keluar parti pada 14 Disember lalu.

Ada yang mempersoalkan integriti ahli Parlimen itu yang masih memegang kerusi Sabak Bernam dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

Seorang penduduk Sabak Bernam, Ahmad Jais Zahdi, 48, berkata walaupun Fasiah berhak meninggalkan Umno, tetapi secara etika dan moralnya, apa yang dilakukannya itu tidak betul.

“Jika kamu berhutang dengan rakyat (Umno), kamu perlu bayar hutang kamu (dengan setia).

“Kami tak boleh salahkan beliau 100% kerana mungkin beliau ada sebab tersendiri. Tetapi tindakannya keluar parti menghina pengundi,” kata Jais kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di Sabak Bernam baru-baru ini.

Ahmad Jais Zahdi berkata walaupun Mohd Fasiah Mohd Fakeh berhak meninggalkan Umno, tetapi secara etika dan moralnya, tindakan itu tidak betul. –  Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Disember, 2018.

Katanya, penyokong Umno sudah bekerja keras semasa pilihan raya untuk memastikan Fasiah menang.

“Pemimpin-pemimpin selalu kata ahli Parlimen mesti setia pada parti dalam apa jua keadaan.

“Kalau beliau betul-betul nak bantu rakyat, beliau kena letak jawatan dan dapat semula maruah beliau,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, lima ahli Parlimen daripada Umno termasuk Fasiah bertindak keluar parti dan memilih menjadi ahli Parlimen bebas. Mereka dijangka masuk Bersatu.

Pada PRU14, Fasiah berjaya mengekalkan kerusi Sabak Bernam dengan majoriti 1,674 apabila mengalahkan calon Bersatu, Warno Dogo dan calon PAS, Muhamad Labib Abd Jalil.

Sabak Bernam adalah salah satu daripada dua kerusi Parlimen yang dimenangi BN di Selangor. Satu lagi ialah kerusi Tanjung Karang. Terdapat 22 kerusi Parlimen di Selangor.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Naza, 62, berkata Fasiah mengabaikan tanggungjawab dan mandat yang diberi rakyat apabila keluar daripada Umno.

“Beliau perlu berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk diri sendiri. Itulah sebabnya kenapa rakyat mengundi beliau.”

Tambah Naza, beliau sudah lama tidak nampak Fasiah di sekitar Sabak Bernam.

Pada 14 Disember lalu, lima ahli Parlimen daripada Umno termasuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh bertindak keluar parti dan memilih menjadi ahli Parlimen bebas. – Gambar Facebook, 24 Disember, 2018.

“Kami tak nampak beliau di mana-mana majlis di sini. Kalau orang nampak, mungkin beliau teruk kena marah sebab keluar Umno,” katannya.

Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri berkata tindakan Fasiah keluar parti tidak beri sebarang masalah kepada mereka.

Tiada apa yang berubah dan Umno Bahagian Sabak Bernam masih lagi kuat, katanya.

Perkara sama juga diluahkan oleh seorang pekerja ladang, Zulkefli Abu Hassan, 51, yang berkata Fasiah menang di Sabak Bernam hanya kerana kerja keras jentera Umno.

“Kami bekerja keras nak pastikan beliau menang. Tapi lepas tujuh bulan beliau keluar parti dan kami tak tahu sebab apa.

“Kami ada dengar tentang ahli Parlimen lompat parti, tapi tak sangka pula Fasiah yang lompat.

“Kami kecewa kerana beliau keluar parti tanpa beri penjelasan,” tambah Zulkefli.

Seorang pesara, Mohd Khairi Yunus, 66, memberitahu yang beliau sudah lama mengenali Fasiah dan tahu ahli Parlimen itu orang yang baik.

“Selama ini beliau beri bantuan kepada orang miskin dan beri bantuan sekolah anak-anak.

“Kami faham beliau sekarang di pihak pembangkang dan tak dapat banyak peruntukan. Tetapi, kami tak minta apa-apa.

“Jadi, saya tak nampak kenapa beliau mesti keluar parti.” – 24 Disember, 2018.

Mohd Khairi Yunus berkata tidak memahami tindakan ahli Parlimennya keluar parti. –  Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen