ZAIRIMAH Abdul Jamil, seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta, lazimnya membawa anak-anak pergi bercuti pada setiap musim cuti sekolah tetapi tidak pada tahun ini.
Beliau tidak membuat sebarang perancangan pergi bercuti dan tidak juga balik kampung kerana mahu menjimatkan perbelanjaan untuk persiapan dua anaknya bersekolah tahun depan.
Seorang anaknya tahun depan masuk Tahun Empat dan seorang lagi naik Tingkatan Satu.
“Kalau dulu setiap hujung tahun kita pergi bercuti, kali ini tidaklah. Balik kampung pun jarang. Semuanya kena catu sebab nak tampung barang-barang sekolah yang setiap tahun naik harga,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut Zairimah, wang yang biasanya beliau guna untuk bercuti itu dapat menampung RM1,000 yang beliau perlukan untuk menyiapkan anaknya ke sekolah tahun depan.
“Tahun ini kita rasa kos hidup makin meningkat. Barang dapur pun mahal walaupun kita masak sendiri. Makan luar memang jarang sangat kecuali ada nak raikan hari jadi,” tambahnya.
Zairimah tidak keseorangan. Dua lagi keluarga dari kalangan kelas menengah berpendapatan isi rumah kurang RM8,000 yang ditemu bual The Malaysian Insight juga mengambil langkah sama untuk berjimat.
Antara perkara utama yang mereka korbankan ialah belanja keraian termasuk bercuti serta mengurangkan makan di luar untuk menyesuaikan perbelanjaan dengan kos hidup yang meningkat.
Keluarga pasangan muda Juliana Jasman, 34, dan suami yang mempunyai tiga anak berkata beliau memperuntukkan hampir RM1,000 untuk permulaan perbelanjaan sekolah anak sulung mereka yang berumur 8 tahun.

“Ini baru seorang yang bersekolah. Yuran dan buku untuk sekolah agama sahaja sudah RM450. Banyak juga harga kelengkapan sekolah meningkat misalnya kasut… tahun lepas dua pasang RM70, tahun ini RM80.
“Kalau baju tahun lepas saya beli jenama murah, sepasang RM30 tetapi cepat koyak. Jadi, tahun ini cari yang lebih kualiti… sepasang RM60 tapi kainnya tebal dan berkualiti,” kata suri rumah yang suaminya bekerja di pelantar minyak itu.
Tambah Juliana, untuk berjimat beliau juga menyuruh anaknya menggunakan peralatan sekolah lama yang masih elok.
“Contohnya beg sekolah, pakai yang lama sahaja, masih elok,” katanya, yang juga kini membiasakan diri memasak di rumah untuk berjimat.
Pegawai pemasaran Fredrick Das Devadas, 46, juga mengeluh dengan kenaikan harga kelengkapan persekolahan walaupun beliau sudah membuat persiapan awal menabung sejak awal tahun.
“Saya asingkan 5 peratus daripada gaji setiap bulan untuk memastikan duit mencukupi untuk belanja sekolah anak-anak,” kata bapa kepada dua anak yang masih bersekolah rendah.
Namun dengan tabungan itu pun beliau masih merasai beban kos barang dan sara hidup yang meningkat.
“Nilai mata wang kita melemah jadi sebab itu kos hidup juga naik. Kerajaan baharu perlu berikan lebih subsidi untuk setiap pelajar.
“Setiap tahun harga barang kelengkapan sekolah akan meningkat, contohnya kasut anak saya tahun lepas RM30 kali ini RM40. Baju sekolah juga meningkat RM10 setiap pasang,” katanya.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng kelmarin mengumumkan bantuan awal persekolahan RM100 untuk setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 dalam kalangan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000.
Katanya, bantuan dengan peruntukan khas RM328 juta itu bertujuan meringankan beban perbelanjaaan ibu bapa dan penjaga pada awal tahun. Bantuan itu akan disalurkan melalui Kementerian Pendidikan untuk diagihkan ke sekolah Januari ini. – 24 Disember, 2018.
Komen