PASUKAN keselamatan Mesir hari ini membunuh 14 militan Islam dalam kejadian tembak menembak di utara rantau Sinai yang bergolak, kata kementerian dalam negeri.
Dalam satu kenyataan, kementerian berkata pihak berkuasa terlebih dahulu mengawasi militan-militan itu sebelum menyerang tempat persembunyian mereka.
Kejadian berbalas tembakan selama beberapa jam itu membunuh lapan militan. Enam lagi berjaya melarikan diri tetapi kemudian dibunuh ketika dikejar polis. Bagaimanapun, kementerian tidak mendedahkan butiran serangan tersebut.
Militan-militan ini disyaki merancang serangan terhadap kemudahan penting kerajaan, pasukan tentera dan polis, jelas kementerian itu lagi.
Pertempuran antara pihak berkuasa dengan pemberontak di Utara Sinai bermula selepas bekas presiden Mohamed Morsi digulingkan pada 2013.
Beratus-ratus tentera dan polis terbunuh diserang militan.
Pasukan keselamatan telah menjalankan operasi besar-besaran yang tertumpu di Semenanjung Sinai sejak Februari. Operasi bertujuan untuk menghapuskan sekutu tempatan kumpulan Islamic State yang menerajui pemberontakan tersebut. – AFP, 23 Disember, 2018.
Komen