TIGA individu termasuk seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan orang dan pelacuran.
Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Chandra Muthu berkata suspek bersama dua wanita berusia 25 dan 47 tahun itu diberkas hari ini hasil risikan dan pemerhatian yang dijalankan anggota polis di rumah sewa suspek di Petagas.
“Enam wanita berusia antara 20 dan 24 tahun diselamatkan di mana mereka ditemui dalam dua bilik di rumah suspek,” katanya.
Hasil siasatan mendapati wanita terbabit dibawa ke Sabah secara berperingkat dari Zamboanga Filipina sejak 15 hari hingga empat bulan lalu dan memasuki Sabah melalui Sandakan. Semporna dan Tawau sebeum dibawa ke rumah suspek di Kota Kinabalu.
Chandra berkata perjalanan mereka diuruskan oleh ejen di Malaysia dan Filipina dengan kos ditanggung mangsa secara hutang.
“Mereka dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan di kelab malam tempatan dan restoran, namun menjadi mangsa eksploitasi seks.
“Mereka dihantar ke pusat hiburan, karaoke dan hotel apabila mendapat tempahan pelanggan untuk khidmat seks,” katanya.
Polis turut merampas 10 telefon bimbit, mata wang Amerika, Brunei dan Singapura serta kereta daripada suspek.
Chandra berkata suspek disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Manusia 2007 dan direman sehingga 28 Ogos manakala kesemua mangsa dihantar ke pusat perlindungan. – 23 Ogos, 2017.
Komen