Sebelum tsunami, Anak Kratau meletus sejak siang semalam


GUNUNG Anak Krakatau meletus berulang kali sejak tengah hari semalam sebelum tsunami dari Selat Sunda malam tadi menghempas daerah Banten kira-kira 100 kilometer dari Jakarta, Indonesia menyebabkan lebih 60 maut, lapor Tempo.

Saksi kejadian yang berkhemah di pantai di bandar Anyer memberitahu portal berita itu letusan itu terdengar seperti guruh dan laharnya kelihatan dari tempat mereka berkhemah.

Hendi memberitahu Tempo keadaan laut normal sehingga menjelang Maghrib dan letusan gunung berapi itu tidak lagi kerap seperti sebelumnya.

Namun keadaan berubah sekitar pukul 9 malam waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia) apabila gelombang laut mula membesar.

“Saya beritahu kawan saya … ombaknya makin besar,” katanya seperti dipetik Tempo.

Hendi dan rakan-rakannya langsung berlari meninggalkan tapak khemah dan melihat penduduk setempat juga sedang menyelamatkan diri.

Tsunami melanda kawasan pesisir Banten kira-kira pukul 9.27 malam waktu tempatan, kesan longsor bawah laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau.

Sementara itu, jurucakap Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia mengumumkan sekurang-kurangnya 548 orang cedera, manakala lebih 400 buah rumah dan sembilan hotel rosak teruk.

Antara daerah yang teruk dilanda bencana ialah pesisir pantai termasuk kawasan pelancongan di pantai Tanjung Lesung, Teluk Lada, Panimbang dan Carita.

Anak Krakatau adalah gunung berapi yang muncul lebih kurang empat dekad selepas Gunung Krakatau meletup pada 1883, terletak di Selat Sunda antara pulau Jawa dan Sumatera. – 23 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen