SEKURANG-KURANGNYA 168 terbunuh, 745 cedera manakala 30 dilaporkan hilang dalam kejadian tsunami di Indonesia yang dipercayai berpunca daripada gunung berapi dikenali sebagai “anak” Krakatoa, kata pihak berkuasa awal pagi ini.
Berpuluh-puluh bangunan musnah akibat ombak besar yang membadai di beberapa pantai di Sumatera Selatan dan barat Jawa kira-kira 9.30 malam waktu tempatan semalam, kata jurucakap agensi bencana negara Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa berkata tsunami itu mungkin terjadi akibat kenaikan air pasang abnormal kerana bulan baharu dan tanah runtuh di dasar laut akibat letusan Anak Krakatoa, yang membentuk sebuah pulau kecil di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera.
“Gabungan itu menyebabkan tsunami tiba-tiba melandai pantai itu,” kata Nugroho, menambah agensi geologi Indonesia sedang menyiasat bagaimana ia berlaku.
Nugroho berkata jumlah kematian mungkin meningkat.
Rakaman video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan penduduk yang panik menggunakan lampu suluh dan lari ke kawasan lebih tinggi.
Pihak berkuasa Indonesia pada awalnya mendakwa ombak itu bukan tsunami, tetapi kenaikan air pasang dan menggesa orang ramai jangan panik.
Nugroho kemudian memohon maaf kesilapan itu di Twitter, berkata ketiadaan berlakunya gempa bumi menyukarkan pihak berkuasa mengesan punca insiden itu lebih awal.
Ombak menghempas sebahagian pantai sekitar Selat Sunda antara kepulauan Jawa dan Sumatera, tetapi daerah Pandeglang di hujung Jawa paling teruk terjejas di mana 33 orang maut dan 491 cedera.
Di pantai Carita yang popular di pantai barat Jawa, seorang saksi, Muhammad Bintang, 15, berkata air tiba-tiba pasang dan menyebabkan tempat pelancongan itu gelap gelita.
“Kami tiba jam 9 malam untuk bercuti dan tiba-tiba ombak datang, semuanya gelap, bekalan elektrik putus,” katanya.
Anak Krakatoa ialah pulau gunung berapi yang timbul dari lautan kira-kira setengah abad selepas letusan Krakatoa pada 1883.
Ketika Krakatoa meletus pada abad ke-19 itu, abu, batu dan asap terkeluar sejauh 20km ke udara, menjadikan wilayah itu gelap, dan menyebabkan tsunami besar yang dirasakan di seluruh dunia. Bencana itu menyebabkan lebih 36,000 maut.
Indonesia, salah satu negara yang paling cenderung dilanda bencana, terletak di “lingkaran api” Pasifik, di mana plat tektonik bertembung dan sebahagian besar letusan gunung berapi di dunia dan gempa bumi berlaku.
Negara itu sering mengalami gempa bumi yang mengorbankan ramai mangsa, termasuk yang terbaru di Palu di kepulauan Sulawesi di mana gempa dan tsunami membunuh ribuan orang.
Pada 2004, tsunami menyebabkan berlakunya gempa bumi di bawah laut berskala 9.3 magnitud di pantai Sumatera di barat Indonesia menyebabkan 220,000 terbunuh di negara-negara sekitar Lautan Hindi, termasuk 168,000 di Indonesia.
Anak Krakatoa ialah satu daripada 127 gunung berapi aktif di kepulauan itu. – AFP, 23 Disember, 2018.
Komen