Kanada mohon bantuan bebaskan warganya ditahan di China


Menteri Luar Chrystia Freeland berkata penahanan China terhadap bekas diplomat Michael Kovrig dan usahawan Michael Spavor bukan hanya isu Kanada. – Gambar EPA, 23 Disember, 2018.

DIPLOMAT Kanada hari ini menggesa sekutu untuk memberi sokongan dalam mendapatkan pembebasan tiga rakyatnya di China, berkata penahanan itu “pemula yang membimbangkan” untuk seluruh masyarakat antarabangsa.

Menteri Luar Chrystia Freeland berkata penahanan China terhadap bekas diplomat Michael Kovrig dan usahawan Michael Spavor bukan hanya isu Kanada.

“Ini isu yang membimbangkan sekutu kami dan kami membincangkannya secara aktif dengan sekutu dan rakan kerjasama di seluruh dunia,” katanya dalam sidang akhbar menerusi telefon.

Freeland berulang kali menggesa pembebasan serta-merta terhadap dua lelaki itu yang “ditahan sewenang-wenangnya”.

Perdana Menteri Justin Trudeau yang membuat kunjungan mengejut kepada tentera Kanada di Mali juga berkata: “Kami mahu menunjukkan kepada China betapa penting untuk ia membebaskan semua tahanan itu.

“Kami rasa dengan menghormati kedaulatan undang-undang, hak rakyat, banduan sangat penting,” katanya.

Kovrig dan Spavor ditahan pada 10 Disember dan dituduh terbabit dalam aktiviti yang “membahayakan keselamatan nasional China”.

Walaupun tiada kaitan rasmi dibuat, penahanan itu dilihat seperti timbal balas terhadap tindakan Kanada menahan eksekutif kanan syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei iaitu Meng Wanzhou pada 10 Disember.

Ottawa berulang kali berkata penahanan Meng tiada kaitan dengan politik, tetapi sebahagian proses keadilan dalam memastikan perjanjian ekstradisi dengan Washington. – AFP, 23 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen