RIBUAN penunjuk perasaan berarak di ibu kota Serbia di Belgrade semalam untuk minggu ketiga berturut-turut, membantah keganasan yang dilakukan kerajaan Presiden Aleksandar Vucic terhadap parti pembangkang dan media.
Ada yang melaungkan “Vucic, pencuri” pada himpunan terkini dalam demonstrasi pembangkang paling penting sejak musim bunga 2017, di mana ribuan anak muda Belgrade membuat bantahan selama berminggu-minggu membantah kemenangan Vucic sebagai presiden.
“Rakyat diam kerana takut, kerana cakap boleh jadi bahaya, awak boleh hilang kepala seperti saya juga yang hampir hilang kepala,” kata wartawan Milan Jovanovic.
Rumahnya di Belgrade dibakar awal bulan ini dalam serangan molotov koktel di mana peguamnya berkata ia berkaitan dengan artikel wartawan itu mendedahkan rasuah.
“Tetapi Serbia baru terjaga dari hibernasi dan buat keputusan untuk tidak lagi berdiam,” kata Jovanovic sebelum bermulanya perarakan pada Sabtu.
Antara 35,000 dan 40,000 orang menyertai protes itu, kata penganjur. Polis tidak serta-merta membuat anggaran, tetapi mencabar jumlah 20,000 yang diberikan penganjur pada protes Sabtu sebelum ini.
Vucic, nasionalis keras itu dituduh oleh pembangkang dan persatuan sivil kerana melaksanakan undang-undang autokrasi dan kawalan penuh terhadap media, menggunakan media untuk berkempen menentang pembangkang.
“Mereka boleh berarak, tanpa keganasan,” kata Vucic semalam.
“Tetapi mereka sangat faham bahawa selepas setiap demonstrasi, saya dan parti saya bertambah kuat.”
Protes itu pada mulanya diadakan oleh parti pembangkang selepas salah seorang pemimpin mereka dipukul menjelang perhimpunan politik di tengah Serbia, bulan lalu.
Pembangkang Alliance for Serbia (SZS), ialah penaung bagi parti-parti di seluruh spektrum politik, menuduh penyerangnya ialah penyokong parti pemerintah Serbian Progressive Party (SNS), satu tuduhan yang dinafikan oleh pihak berkuasa. – AFP, 23 Disember, 2018.
Komen