20 maut Indonesia dilanda tsunami lagi


Tsunami melanda Selat Sunda di Indonesia semalam dan setakat ini menyebabkan sekurang-kurangnya 20 terbunuh. – Gambar Twitter, 23 Disember, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 20 terbunuh dan lebih 100 cedera dalam kejadian tsunami di Indonesia yang dipercayai berpunca daripada gunung berapi dikenali sebagai “anak” Krakatoa, kata pihak berkuasa awal pagi ini.

Berpuluh-puluh bangunan musnah akibat ombak besar yang membadai di beberapa pantai di Sumatera Selatan dan barat Jawa kira-kira 9.30 malam waktu tempatan semalam, kata jurucakap agensi bencana negara Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan.

“Seramai 20 orang terkorban, 165 cedera dan dua orang hilang di tiga wilayah,” katanya.

Pihak berkuasa berkata tsunami itu mungkin terjadi akibat kenaikan air pasang abnormal kerana bulan baharu dan tanah runtuh di dasar laut akibat letusan Anak Krakatoa, yang membentuk sebuah pulau kecil di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera.

Agensi geologi Indonesia sedang menyiasat puncanya, kata Nugroho, menambah jumlah kematian mungkin meningkat.

Anak Krakatoa ialah pulau gunung berapi yang timbul dari lautan kira-kira setengah abad selepas letusan Krakatoa pada 1883.

Indonesia, salah satu negara yang paling cenderung dilanda bencana, terletak di “lingkaran api” Pasifik, di mana plat tektonik bertembung dan sebahagian besar letusan gunung berapi di dunia dan gempa bumi berlaku.

Negara itu sering mengalami gempa bumi yang mengorbankan ramai mangsa, termasuk yang terbaru di Palu di kepulauan Sulawesi di mana gempa dan tsunami membunuh ribuan orang.

Anak Krakatoa ialah satu daripada 127 gunung berapi aktif di kepulauan itu. – AFP, 23 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen