Harga roti naik, rakyat Sudan protes, 22 mati


Rakyat Sudan mengadakan bantahan dan protes besar-besaran di seluruh negara itu susulan keputusan kerajaan menaikkan harga roti. – Gambar Facebook, 23 Disember, 2018.

KETUA pembangkang utama Sudan, Sadiq al-Mahdi menyalahkan “penindasan bersenjata” atas kematian 22 orang dalam protes terhadap kenaikan harga roti, walaupun pihak berkuasa berkata jumlahnya lebih rendah.

Keputusan kerajaan menaikkan harga sebuku roti daripada satu pound Sudan kepada tiga pound (kira-kira enam sen dalam mata wang Amerika Syarikat), mencetuskan demonstrasi di seluruh negara itu sejak Rabu.

“Kami mengutuk penindasan bersenjata di demonstrasi itu,” kata pemimpin Parti Umma pada sidang media di Omdurman.

Mahdi berkata 22 orang mati syahid dan beberapa lagi cedera.

Tetapi tiada maklumat lanjut diberikan, dan setakat ini tidak dapat disahkan jumlah kematian sebenar dalam protes itu.

Protes itu mula tercetus di bandar timur Atbara sebelum merebak ke Al-Qadarif, juga di timur Sudan, dan kemudian ke ibu kota Khartoum dan bandar berkembar Omdurman serta beberapa kawasan lagi.

Dua penunjuk perasaan terbunuh di Atbara dan enam lagi di Al-Qadarif, kata pihak berkuasa pada Khamis, susulan penunjuk perasaan membakar pejabat Presiden Omar al-Bashir yang mengetuai kerajaan pemerintah, Parti Kongres Nasional (NCP).

Mahdi mendesak siasatan negara dan antarabangsa terhadap kematian itu dibuat dan berkata protes itu akan terus menggegarkan Sudan.

Gerakan protes itu ialah cara sah dan dilancarkan kerana situasi semakin teruk di Sudan, katanya pada sidang akhbar pertamanya sejak kembali ke tanah air pada Rabu selepas hampir setahun hidup dalam buangan.

Berada dalam politik Sudan sejak 1960-an, Mahdi pernah menjadi perdana menteri dari 1966 hingga 1967 dan sekali lagi pada 1986 hingga 1989.

Kerajaannya yang terakhir dipilih secara demokrasi di Sudan, sebelum ia digulingkan oleh rampasan kuasa dilancarkan oleh Bashir pada 1989.

Sejak itu, Parti Umma bertindak sebagai kumpulan pembangkang utama Sudan dan sering berkempen menentang dasar kerajaan Bashir.

Menurut saksi, demonstrasi merebak pada Sabtu ke beberapa lagi bandar.

Kira-kira 300 orang berkumpul di pusat Wad Madani, tenggara Khartoum, melaungkan kata-kata “rakyat mahu rejim jatuh”, kata saksi. – AFP, 23 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen