HAMPIR 300,000 pelarian Syria pulang ke rumah masing-masing sejak Turki melancarkan dua operasi ketenteraan di negara bergolak itu.
Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu berkata susulan perkembangan positif itu, pihaknya merancang untuk melancarkan satu lagi operasi di Syria.
“Jumlah pelarian Syria yang kembali ke tanah air adalah 291,790 orang,” katanya,
Pada Ogos 2016, Ankara membantu kumpulan penentang kerajaan Syria untuk menguasai wilayah di utara negara itu yang ditawan militan Daesh.
Antara Januari dan Mac 2017, kumpulan yang sama dibantu tentera Turki untuk merampas kembali wilayah Afrin daripada militan Kurdis yang dilabel sebagai pengganas kerana mendalangi pemberontakan di Turki.
Minggu lalu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata kerajaannya sedia melancarkan operasi baharu terhadap militan Kurdis yang berkubu di utara Syria dalam tempoh beberapa hari lagi.
Bagaimanapun selepas rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pengunduran tentera dari Syria, Erdogan berkata operasi ke atas militan Kurdish dan Daesh akan dilakukan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Turki memberi pelindungan kepada 3.5 juta pelarian Syria sejak negara itu dilanda perang saudara pada 2011.
Malah 300,000 pelarian Iraq masih berlindung di negara itu ekoran pergolakan yang masih berterusan di negara tersebut. – AFP, 22 Disember, 2018.
Komen