Ahli Kongres Filipina mati ditembak


Rodel Batocabe baru-baru ini mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai datuk bandar di Daraga pada pilihan raya pertengahan yang dijadualkan berlangsung pada Mei. – Gambar Facebook, 22 Disember, 2018.

SEORANG ahli Kongres Filipina ditembak mati dalam sambutan menjelang Hari Krismas hari ini, kejadian keganasan terbaru melibatkan kematian ahli politik di negara ini.

Rodel Batocabe baru saja selesai memberi hadiah kepada orang ramai di pekan Daraga apabila mangsa dan pegawal keselamatannya ditembak mati oleh seorang penyerang yang bersembunyi dalam kalangan pengunjung.

Motif pembunuhan tidak dapat dipastikan tetapi pihak berkuasa percaya serangan itu bermotifkan politik.

Batocabe baru-baru ini mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai datuk bandar di Daraga pada pilihan raya pertengahan yang dijadualkan berlangsung pada Mei.

Sesi pengundian di Filipina sering dicemari keganasan dalam kalangan ahli politik yang sanggup menggunakan kuasa dan kedudukan untuk mendapat jawatan tinggi dalam kerajaan.

Mangsa yang dipilih sebagai perwakilan Kongres pada 2010, baru-baru ini menyuarakan kebimbangan tentang tindakan pihak lawan menggunakan kumpulan bersenjata untuk meraih undi dalam pilihan raya tersebut.

Selama bertahun-tahun, beberapa ahli Kongres Filipina diserang atau dibunuh oleh pihak lawan masing-masing.

Dalam kejadian sebelum ini, seorang lagi ahli politik Wahab Akbar dibunuh bersama dua pembantunya dalam serangan bom di luar bangunan perwakilan pada November 2007.

Setahun sebelumnya, ahli Kongres Luis Bersamin ditembak mati di luar sebuah gereja di Manila. – AFP, 22 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen