Bangladesh tutup laman web pembangkang


Peguam yang mewakili parti pembangkang Bangladesh menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan mengamalkan corak pemerintahan kuku besi. – Gambar EPA, 22 Disember, 2018.

PIHAK berkuasa Bangladesh menutup laman web parti pembangkang utama negara itu menjelang pilihan raya umum pada minggu depan.

Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) berkata tindakan itu dibuat sejak minggu lalu apabila 54 portal berita  dan laman web ditutup dengan alasan faktor keselamatan.

“Kita telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membuka semula laman web itu. Namun tiada tindakan diambil setakat ini,” kata jurucakap BNP Nazrul Islam Khan.

Penutupan laman web itu menjejaskan kempen pilihan raya parti tersebut menjelang hari pengundian yang dijadualkan pada 30 Disember ini.

“Kita tidak boleh berkomunikasi dengan penyokong parti,” katanya.

BNP merupakan sebahagian gabungan pembangkang Barisan Perpaduan Nasional.

Parti itu bertanding semula dalam pilihan raya tahun ini selepas memulaukan pengundian pada 2014.

BNP disebut sebagai pencabar utama Perdana Menteri Sheikh Hasina yang berusah mengekalkan pentadbiran buat penggal keempat.
 
Kerajaan Hasina dituduh mengamalkan pemerintahan kukuh besi apabila menggunakan undang-undang keselamatan digital untuk menutup mulut penentangnya.

Sementara itu Suruhanjaya Kawalan Undang-Undang Telekomunikasi (BTRC) Bangladesh tidak mengesahkan sama ada laman web BNP antara 54 portal yang disekat pada minggu lalu.

Namun pengerusi suruhanjaya itu, Jahurul Haque menuduh laman web itu mempunyai kandungan yang tidak bersesuaian.

“Laman web itu adalah tidak senonoh,” katanya.

Jurucakap BTRC Zakir Khan pula mendakwa laman web BNP itu menyebarkan propaganda dan menggugat keselamatan negara.

Dalam emel kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, BTRC bagaimanapun berkata laman web itu ditutup ekoran arahan daripada dua agensi perisikan yang mendakwa terdapat kandungan yang menyalahi undang-undang.

Namun BNP menafikan dakwaan tersebut. – AFP, 22 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen