Iran kata AS silap kerah tentera ke Syria


Amerika Syarikat menggunakan jet pejuang yang dilancarkan dari kapal pengangkut pesawat untuk menggempur kedudukan strategi di Syria. – Gambar EPA, 22 Disember, 2018.

KEHADIRAN tentera Amerika Syarikat (AS) di Syria merupakan satu kesilapan dan tidak logik, kata Iran mengulas keputusan Presiden Donald Trump mengundurkan askar dari negara bergolak itu.

“Kehadiran tentera Amerika sejak awal, secara dasarnya, adalah salah dan langkah yang tidak logik.

“Ia mencetuskan ketidakstabilan dan menggugat keamanan di rantau ini,” kata jurucakap kementerian luar Iran Bahram Ghasemi menerusi aplikasi mesej Telegram.

Pada Khamis, Trump berkata AS tidak akan lagi menjadi polis di Asia Barat dan mengarahkan pengunduran tentera dari Syria.

Tentera Pengawal Revolusi Iran terlibat dalam peperangan di Syria untuk menyokong Presiden Bashar al-Assad dan menghulurkan bantuan senjata serta menghantar pejuang militia ke medan pertempuran di beberapa negara lain.

AS mempunyai kira-kira 2,000 askar yang ditempatkan di Syria terutamanya di dua kawasan yang bersempadan dengan Iraq, bertujuan memantau pergerakan tentera dari Iran. – AFP, 22 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen