SEORANG ahli perniagaan digelar ‘Sultan Bitumen’ dihukum gantung di Iran hari ini selepas didapati bersalah melakukan penipuan dan menyeludup produk minyak secara besar-besaran.
Hamidreza Bagheri Dermani merupakan ahli perniagaan ketiga yang dihukum gantung sejak Iran melancarkan kempen memerangi rasuah pada pertengahan tahun ini.
Hamidreza didapati bersalah melakukan rasuah, kesalahan paling serius di Iran, selepas menggelapkan wang hampir AS$100 juta menerusi penipuan, rasuah dan pemalsuan.
Kali pertama beliau ditahan pada Ogos 2014 selepas didapati memalsukan berpuluh-puluh dokumen hartanah untuk mendapatkan pinjaman bank.
Kemudian Hamidreza menggunakan nama-nama syarikat terkenal untuk mendapatkan lebih 300,000 tan bitumen, iaitu produk berasaskan minyak yang menjana ekonomi Iran.
Beliau turut dituduh mempunyai hubungan dengan ahli perniagaan magnet Babak Morteza Zanjani yang menunggu hukuman gantung selepas didapati bersalah kerana menggelapkan wang AS$2.7 bilion ketika membantu Teheran mengelakkan sekatan antarabangsa.
Berita hukuman gantung Hamidreza turut disiarkan menerusi rangkaian televisyen tempatan pada Sabtu.
Pihak berkuasa Iran mahu menunjukkan usaha serius mereka membendung masalah rasuah yang boleh menjejaskan ekonomi negara, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.
Berpuluh-puluh individu telah dibicarakan dan pada November lalu, seorang ahli perniagaan bergelar Sultan Syiling dan rakan subahatnya dihukum gantung kerana mengeksploitasi pasaran emas di negara itu. – AFP, 22 Disember, 2018.
Komen