JURUGAMBAR fesyen Amerika Syarikat (AS) Bruce Weber yang dituduh oleh seorang bekas model melakukan gangguan seksual pada tahun lepas, dihadapkan dengan lima lagi tuduhan sama semalam.
Weber, yang bekerja untuk Vouge dan membantu menaikkan imej jenama seperti Calvin Klein, Ralph Lauren dan Abercrombie & Fitch, dituduh mencabul Jason Boyce pada Disember 2014.
“Hari ini kami failkan tuntutan Mahkamah Persekutuan yang baru bagi pihak lima lagi lelaki, kesemuanya model, dengan dakwaan sama terhadap Encik Weber,” kata Lisa Bloom, wakil kelima-lima model itu, dalam satu kenyataan.
“Kes baru itu difailkan di bawah undang-undang kesalahan seks persekutuan, yang baru-baru ini ditafsirkan untuk menghalang kelakuan ‘casting couch’ iaitu seseorang yang berkuasa mengeksploitasi pemohon pekerjaan untuk memuaskan nafsunya sebagai balasan,” kata Bloom.
Weber, bersama Terry Richardson dan Mario Testino, adalah salah seorang jurugambar fesyen terkenal yang dituduh melakukan gangguan seksual selepas kempen #MeToo digerakkan. – AFP, 22 Disember, 2018.
Komen