TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan perlu memperkenal hala tuju jelas kepada parti bagi menangani perpecahan di kalangan ahli, kata pemimpin parti itu di Johor.
Pemimpin dari negeri kelahiran Umno itu berkata ia perkara utama yang perlu diselesaikan segera oleh Mohamad yang memangku tugas presiden selepas Zahid Hamidi bercuti.
Bendahari Umno Johor, Md Jais Sarday berkata ia perlu diselesaikan segera agar parti yang berpengalaman menjadi kerajaan selama 60 tahun itu dapat menjadi pembangkang berwibawa.
“Perkara pertama yang Tok Mat perlu laksanakan adalah macam mana hendak menyatukan semula kumpulan-kumpulan yang berpecah ini dan kembali kepada hala tuju yang tepat,” katanya.
Selepas dipilih menjadi presiden pada Julai, Zahid membawa parti itu untuk membentuk kerjasama lebih erat dengan bekas seterunya PAS, yang tidak dipersetujui oleh golongan seperti Md Jais.
Kerjasama dengan PAS itu digerakkan untuk menerusi usaha membangkit semangat orang Melayu untuk mempertahankan kedudukan istimewa bangsa dan kedaulatan Islam.
Md Jais bersama satu lagi aliran dalam parti itu lebih berminat untuk membina semula Umno menjadi pembangkang berwibawa.
“Saya tidak percaya untuk dapatkan kuasa ini perlu bergabung dengan parti lain. Lebih baik kita kuatkan parti,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Selain daripada itu, terdapat juga kumpulan yang mahu mengadakan kerjasama dengan parti dalam kerajaan untuk memperkukuhkan suara Melayu dalam Pakatan Harapan.
Ia dapat dilihat dengan tindakan pemimpin dan wakil rakyat Umno ke dalam Bersatu dan juga kumpulan yang mahu menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Seramai 17 ahli Parlimen Umno setakat ini keluar parti, menyebabkan parti itu hanya menguasai baki 37 daripada 54 kerusi parlimen yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu.
Kembali ke doktrin asal Umno
Seterusnya, Mohamad perlu membawa Umno untuk kembali ke doktrin perjuangan asal parti untuk membela bangsa, agama dan tanah air mengabaikan kaum dan agama lain, kata Md Jais.
Beliau percaya, parti politik berasaskan kaum yang menjadi pemain politik utama di Malaysia sejak merdeka masih lagi relevan.
Jelasnya, kenyataan pemimpin dan ahli Umno mengenai perjuangan parti selama ini tidak lebih daripada sekadar cakap-cakap politik tanpa ada satu bentuk doktrin tindakan yang jelas.
Ini memandangkan Umno sudah selesa menerajui tampuk pemerintahan negara selama lebih daripada 60 tahun, katanya.
“Umno lebih kepada hendak menakut-nakutkan orang Melayu sahaja. Orang Melayu akan mundur, diketepikan dan kononnya akan terbangsat jika Umno tidak memerintah,” katanya.
Jelasnya lagi Umno akan menjadi tidak relevan sekiranya Pakatan Harapan terbukti benar-benar mampu membela nasib orang Melayu.
“Kerajaan sekarang masih baharu, tidak sengaja menang tetapi andai kata selepas setahun kerajaan boleh struktur balik kedudukan orang Melayu dan sebagainya, jadi Umno hendak ke mana?”
Jelas Jais, keadaan ini jauh berbeza dengan parti seperti PAS, DAP dan PKR yang memberi penekanan terhadap doktrin parti untuk menarik sokongan rakyat terutamanya daripada golongan muda.
“PAS dengan Islamnya, Cina DAP dengan Malaysian Malaysia, PKR dengan keadilan dan integriti. Umno perlu kembali kepada perjuangan asal. Doktrin kepada anak muda perlu dilakukan segera.
“Orang muda ramai yang bersama dengan Umno tetapi mereka tidak dibawa masuk ke dalam parti. Ada ramai anak muda Melayu yang profesional, dalam kerajaan, mahasiswa, libatkanlah semua ini,” kata
Jenama, struktur semula BN
Menurut Jais lagi Mohamad juga perlu mencari formula baru untuk membentuk persefahaman antara kaum sekali gus menarik sokongan masyarakat melalui Barisan Nasional (BN).
Jelasnya, perbincangan tersebut perlu dibuat secara terbuka dalam parti untuk menangani isu setiap kaum.
“BN kali ini perlu lebih terbuka. Kita kena duduk berbincang tawaran kepada orang Melayu, apa yang kita hendak jaga, orang Cina dan India apa yang kita perlu selesaikan untuk jangka masa tertentu,” katanya.
Keputusan PRU14 lalu menyaksikan Umno dan PAS masih mendominasi sokongan di kawasan majoriti orang Melayu manakala DAP menguasai kerusi-kerusi di bandar yang majoriti pengundinya adalah kaum Cina.
Beliau turut menggesa Mohamad membentuk kekuatan baru BN di Semenanjung pada masa akan datang akan mengembalikan semula sokongan parti-parti lain di Sabah dan dan Sarawak.
“Jika parti atau gabungan parti kuat di Semenanjung, parti-parti di Sabah dan Sarawak akan ikut. Mereka pun tahu Pakatan Harapan tidak kuat.
“Inilah masanya untuk kita Umno, MCA dan MIC duduk balik berbincang. MCA hendak keluar BN pun bukan boleh bertanding seorang-seorang,” ujarnya.
Katanya BM perlu menawarkan wawasan baru seperti mana Dasar Ekonomi Baharu, Wawasan 2020 dan Tranformasi Nasional 2050 yang pernah dibentangkan sebelum ini.
“Wawasan 2020 sudah hendak habis jadi wawasan kita seterusnya apa? BN punya penjenamaan dan penstrukturan mestilah berdasarkan 30 tahun akan datang, apa yang hendak dicapai dalam membentuk persefahaman antara kaum,” katanya. – 22 Disember, 2018
Komen