DEWAN Perwakilan Amerika Syarikat ditangguhkan semalam tanpa meluluskan perjanjian belanjawan, memastikan sebahagian daripada pentadbiran ditutup pada tengah malam.
Operasi beberapa agensi utama dihentikan pada awal hari ini.
Trump kini mencari AS$5 Bilion (RM21 bilion) untuk pembinaan tembok sempadan Amerika Syarikat dengan Mexico. Demokrat bagaimanapun menentang keras dan ketiadaan kesepakatan bermakna dana persekutuan untuk puluhan agensi akan luput pada tengah malam.
Namun tidak dapat dipastikan berapa lama penutupan akan berlaku. Tetapi ia kelihatan tidak baik, kerana ratusan ribu pekerja persekutuan akan sama ada dengan sukarela atau dipaksa bekerja tanpa gaji sehingga cuti Krismas.
Sesi Dewan akan bersambung tengah hari ini.
Sementara itu, Senat masih buka lewat semalam, namun tiada tanda-tanda sebarang perkembangan positif.
Senator memberitahu pemberita, pemimpin kongress dari kedua-dua parti sedang mengadakan rundingan secara tertutup dengan pegawai Rumah Putih, termasuk dengan Naib Presiden Mike Pence, menantu Trump, Jared Kushner dan bakal ketua turus Mick Mulvaney.
Antara fokus perbincangan itu adalah mengenai AS$1.6 bilion dana keselamatan sempadan yang sebahagian daripada peraturan senat yang tertangguh, kata Senator Republikan John Cornyn kepada AFP.
Trump dijadualkan terbang ke Florida semalam untuk cuti Krismasnya, tetapi Rumah Putih berkata presiden menangguhkan perjalanan itu dan akan tetap berada di Washington dalam usaha menyelamatkan perjanjian belanja. – AFP, 22 Disember, 2018
Komen